Kerjasama teknologi dan pembiayaan jadi pemangkin pembangunan Malaysia – Ts. Khairil Adzhar

FOTO BERITA: Majlis Menandatangani MoU antara GAMBIT Tech Solutions Sdn Bhd dan SANDS Consulting Sdn Bhd di Co-labs Coworking The Starling, Aras 4, The Starling, 6, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor. 26hb Jun 2026 (Jumaat)

Kerjasama strategik antara GAMBIT Group dan SANDS Consulting Sdn. Bhd. diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan negara melalui gabungan teknologi, pembiayaan mampan dan inovasi, kata Pengarah Eksekutif SANDS Consulting Sdn. Bhd., Ts. Hj. Mohammed Khairil Adzhar Mohammed.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara GAMBIT Group dan SANDS Consulting Sdn. Bhd. yang berlangsung di Co-labs Coworking, The Starling, Damansara Utama, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pemeteraian MoU itu bukan sekadar melibatkan tandatangan sebuah dokumen, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik yang menggabungkan kepakaran, pengalaman dan visi kedua-dua organisasi dalam mempercepatkan pembangunan negara menerusi inovasi teknologi.

“Hari ini bukan sekadar menandatangani satu dokumen, tetapi menjadi permulaan kepada sebuah kerjasama strategik yang menggabungkan kepakaran dan pengalaman untuk mempercepatkan pembangunan negara melalui inovasi teknologi dan strategi pembangunan,” katanya.

Beliau menjelaskan, SANDS Consulting percaya teknologi hanya bermakna apabila ia mampu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, memperkasakan sektor kerajaan dan swasta serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, teknologi bukan sekadar membangunkan sistem, malah berupaya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkasakan sektor perniagaan dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan sesuatu teknologi bergantung kepada pembiayaan yang mampan, tadbir urus yang baik dan kerjasama strategik yang kukuh.

“Kerjasama hari ini sangat penting kerana ia menggabungkan kekuatan dua organisasi yang saling melengkapi. SANDS Consulting mempunyai kepakaran dalam transformasi digital, pembangunan perisian, integrasi sistem, pengurusan projek, infrastruktur pintar dan perundingan teknologi, manakala GAMBIT Group menawarkan kekuatan dalam aspek pembiayaan projek,” katanya.

Menurut beliau, gabungan itu membolehkan kedua-dua organisasi membina ekosistem yang mampu membawa sesuatu projek daripada peringkat idea sehingga pelaksanaan secara menyeluruh. Beliau turut menyentuh cabaran semasa termasuk ketidaktentuan ekonomi global, perkembangan teknologi yang pantas serta ketidaktentuan geopolitik dunia yang memberi kesan kepada Malaysia.

Katanya, dalam keadaan sumber kewangan kerajaan dan organisasi yang semakin terhad, pendekatan pembiayaan seperti Private Finance Initiative (PFI) mampu menjadi pemudah cara bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek kritikal tanpa memberikan tekanan kewangan kepada kerajaan.

Ts. Hj. Mohammed Khairil berkata, kejayaan sesebuah projek tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan, sebaliknya sejauh mana projek tersebut mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kecekapan sektor awam dan swasta, memperkukuh ekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, MoU tersebut turut membuka peluang baharu kepada pelaburan, inovasi dan pembangunan projek berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh agenda transformasi digital negara.

“Saya percaya kita boleh bergerak lebih jauh apabila bekerjasama. Jika mahu pergi jauh, kita mesti bergerak bersama. Itulah semangat yang menjadi asas kepada kerjasama antara SANDS Consulting dan GAMBIT Group dalam membina masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan GAMBIT Group serta semua rakan strategik yang memberikan kepercayaan dan sokongan dalam menjayakan kerjasama tersebut.