Kemenangan PH di Johor Penting Perkukuh Laluan Anwar Ke Penggal Kedua – Suhaizan

FOTO BERITA: Solat hajat sebelum perarakan calon N.44 Larkin Suhaizan Kayat yang diimamkan oleh Datuk Seri Mujahid Yusof di Masjid An Nur Larkin Sentral Johor Bahru

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh khusyuk itu diimamkan oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan disertai pimpinan PH, jentera parti serta para penyokong yang hadir bagi memohon doa agar urusan sepanjang proses penamaan calon dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dipermudahkan.

Program solat hajat itu menjadi simbolik permulaan kempen PH di DUN Larkin, selain mencerminkan semangat kebersamaan dan kesatuan jentera parti dalam menghadapi saingan sepanjang tempoh berkempen.

Suasana perarakan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal dengan laungan semangat daripada penyokong yang mengiringi calon PH sepanjang perjalanan.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Larkin, Suhaizan Kayat menyeru seluruh jentera dan penyokong gabungan itu agar bersatu tenaga sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Berucap sejurus selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna JKR Daerah Johor Bahru, Jalan Datin Halimah, Larkin Jaya, beliau merakamkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir sejak awal pagi bagi memberikan sokongan kepada calon PH.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang sanggup berada bersama-sama kami dari awal pagi sehingga selesai proses penamaan calon. Alhamdulillah, kita diberikan nombor dua dan saya anggap ia nombor yang bertuah,” katanya.

Suhaizan berkata, selepas selesai proses penamaan calon, seluruh jentera PKR, AMANAH dan DAP perlu terus memperkukuh gerak kerja bagi menghadapi tempoh kempen selama dua minggu.

Menurut beliau, berdasarkan prestasi pilihan raya sebelum ini, PH mempunyai peluang yang baik untuk memenangi kerusi DUN Larkin sekiranya dapat mengekalkan sokongan yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Insya-Allah, jika kita dapat mengekalkan kedudukan yang dicapai dalam PRU lepas, Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, AMANAH dan DAP mampu memenangi kerusi ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan dan jentera parti termasuk Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Taufik, serta Ketua AMANAH Kawasan Johor Bahru, Cikgu Idris, yang bersama-sama menggerakkan jentera kempen.

Dalam pada itu, Suhaizan mengingatkan semua penyokong supaya berkempen secara matang dengan mengutamakan sikap saling menghormati sepanjang tempoh pilihan raya.

“Kita akan menghadapi dua minggu yang mencabar. Saya harap semua dapat bersabar, saling hormat-menghormati dan kekal fokus dengan satu tekad iaitu memastikan kemenangan menjadi milik Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keputusan PRN Johor sebagai isyarat penting kepada landskap politik negara, khususnya kedudukan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Johor merupakan signal kepada kedudukan kerajaan Persekutuan. Jika sesuatu yang kurang baik berlaku di sini, ia akan memberi kesan kepada kerajaan Persekutuan. Sebab itu kita perlu menjaga maruah kerajaan dan memastikan kemenangan ini dapat memberi kelebihan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan mandat pada penggal kedua nanti,” katanya.
