267 pelajar PPR, PA raih kejayaan melalui Program Tuisyen SPM & 3M YWP

FOTO BERITA: Majlis Penutup Program Kelas Tuisyen SPM & 3M telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed di Kompleks Arena Sukan, Kuala Lumpur. 27hb Jun 2026 Sabtu. (Gambar: YWP)

Seramai 267 pelajar daripada komuniti Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan berjaya menamatkan Program Kelas Tuisyen SPM & 3M anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Yayasan Hasanah, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif memperkasa pendidikan golongan berpendapatan rendah.

Daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 113 pelajar mengikuti kelas persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala 154 lagi menyertai Program 3M (Membaca). Kesemua mereka mengikuti sesi pembelajaran di enam Pusat Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) Yayasan Wilayah Persekutuan di Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Cheras dan Wangsa Maju.

Bagi menjayakan program tersebut, sebanyak RM498,000 diperuntukkan menerusi kerjasama strategik antara Yayasan Wilayah Persekutuan, Yayasan Hasanah, Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa rakan strategik lain bagi menyediakan modul pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan.

Program itu turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila 86 peratus peserta Program 3M berjaya mencapai KP32 bagi Bahasa Melayu, manakala 84 peratus pelajar SPM mencapai KP9 dalam mata pelajaran Matematik.

Lebih membanggakan, kesemua peserta SPM berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia, dengan 55 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Gred C dalam Bahasa Inggeris dan 40 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Gred C bagi Matematik. Malah, beberapa peserta turut mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM.

Kejayaan itu membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan menerusi kerjasama erat antara Yayasan Wilayah Persekutuan, institusi pendidikan, guru, ibu bapa serta rakan strategik dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Kejayaan itu membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan menerusi kerjasama erat antara Yayasan Wilayah Persekutuan, institusi pendidikan, guru, ibu bapa serta rakan strategik dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Sejak ditubuhkan pada 1986, Yayasan Wilayah Persekutuan terus komited memperkasa pembangunan modal insan melalui pelbagai program pendidikan dan kebajikan demi meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan. Tadbir urus yayasan juga terus diperkukuh menerusi pengurusan dana yang telus sebagaimana dibuktikan melalui Laporan Audit Tahun Kewangan 2024 dan 2025.

YWP berharap kejayaan Program Kelas Tuisyen SPM & 3M ini menjadi pemangkin untuk memperluaskan lagi inisiatif seumpamanya pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda Wilayah Persekutuan yang cemerlang, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.