AMANAH rayu rakyat Permas buat pilihan ini jika mahu Johor lebih maju dan makmur
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas supaya memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) jika mahukan Johor terus bergerak ke arah pembangunan yang lebih maju, sejahtera dan makmur.
Beliau berkata, sambutan menggalakkan yang diterima dalam Ceramah Harapan N.43 Permas malam tadi membuktikan rakyat semakin memberi perhatian terhadap tawaran dibawa PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, barisan pimpinan PH hadir dengan komitmen jelas untuk memastikan agenda pembangunan negeri terus dipacu dengan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat secara menyeluruh.
“Kami berkongsi hala tuju Johor Maju Bersama Harapan serta komitmen Pakatan Harapan untuk terus memacu pembangunan negeri dengan mengutamakan kebajikan rakyat, memperkukuh ekonomi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan, memperkasakan golongan muda serta memastikan setiap hasil pembangunan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Johor,” katanya.
Sehubungan itu, Mujahid turut mengajak seluruh rakyat DUN Permas tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik agar bersama-sama memilih PH demi membina masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.
Beliau menegaskan, Johor memerlukan pentadbiran yang bukan sahaja fokus kepada pembangunan ekonomi, tetapi turut memastikan kesejahteraan rakyat menjadi agenda utama kerajaan negeri.
“Johor ke depan, undi Harapan,” kata Dr Mujahid lagi.
Untuk rekod, DUN Permas menyaksikan calon PH dari AMANAH, Teo Siew Hui yang merupakan Ketua Wanita Muda AMANAH (Warda) Johor bertanding dalam pertembungam empat penjuru.
BACA JUGA ‘Calon kitar semula, anti-anak muda’ – Puad bedal senarai BN Johor