Pilih Sharon Teo Demi Kerajaan Johor Yang Stabil dan Kukuh – Mat Sabu

FOTO BERITA: Walkabout Harapan N.43 Permas bersama Mohammad Sabu Presiden Amanah, Uts Mujahid Yusof Timbalan Presiden, Syahredzan Johan Naib Pengerusi DAP dan calon N.43 Permas Sharon Teo, mm di Jalan Kota 1/1, Cahaya Kota Puteri, Masai Johor Bahru Johor. 27hb Jun 2026 (Sabtu)

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Permas supaya memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan, Sharon Teo, yang disifatkan sebagai calon muda berwibawa dan komited memperjuangkan nilai keadilan serta perpaduan.

Mohamad berkata, pemilihan Sharon Teo sebagai calon AMANAH mencerminkan semangat parti yang berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin, iaitu membawa nilai keadilan, ihsan dan kebajikan yang bersifat sejagat tanpa mengira kaum atau agama.

Menurut beliau, perjuangan menentang kezaliman dan mempertahankan keadilan merupakan nilai kemanusiaan yang dikongsi oleh semua masyarakat, sama ada Islam mahupun bukan Islam.

“Bukan orang Islam sahaja yang memperjuangkan keadilan. Kita lihat dalam isu Palestin, ramai masyarakat Eropah turut bangkit membela rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan. Nilai ini bersifat sejagat,” katanya.

Beliau berkata, Sharon Teo merupakan antara pemimpin muda yang diyakini mampu membawa aspirasi tersebut bersama Pakatan Harapan sekiranya diberi mandat oleh rakyat. Mohamad turut menegaskan bahawa memilih calon bukan Islam bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip politik Islam, malah sejarah politik negara pernah menyaksikan pemimpin parti Islam berkempen untuk calon daripada parti bukan Islam.

“Kalau orang Islam mahukan sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan mampu mentadbir dengan baik, mereka perlu memberi sokongan kepada Sharon untuk menang di Permas,” katanya.

Beliau berharap pengundi di DUN Permas membuat pilihan berdasarkan integriti, keupayaan dan komitmen calon dalam berkhidmat kepada rakyat, bukannya semata-mata atas faktor kaum atau agama.