Suhaizan cadang Mat Sentol diangkat sebagai Seniman Negara, hargai jasa ikon perfileman tanah air

FOTO BERITA: Program Ziarah Kasih Madani Karyawan Mat Sentol bersama calon N.44 Larkin Suhaizan Kaiat di Jalan Rajawali Larkin, Johor Bahru Johor. 28hb Jun 2026 (Ahad)

Calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Larkin, Suhaizan Kaiat, meluangkan masa menziarahi seniman veteran Abdul Rasip Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol menerusi Program Ziarah Kasih MADANI Karyawan di kediamannya di Jalan Rajawali, Larkin, Ahad.

Menurut anak keduanya, Roslee Abd Rashid, 63, berkata bapanya lebih banyak terbaring atas katil kerana tidak berupaya melakukan pelbagai aktiviti seperti dahulu. Mat Sentol, yang dilahirkan pada 26 Julai 1933, merupakan antara pelakon tersohor Cathay-Keris Film Productions di Singapura sekitar era 1950-an hingga 1970-an dan dikenali sebagai antara ikon seni yang banyak mencorakkan perkembangan industri perfileman tanah air.

Program Ziarah Kasih Madani diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Mat Sentol dalam memartabatkan industri seni negara sepanjang penglibatan beliau sebagai pelakon, penghibur dan seniman.

Suhaizan berkata, generasi yang membesar pada era kegemilangan Mat Sentol pasti masih mengingati jasa serta bakat beliau yang pernah menceriakan dunia hiburan ketika jumlah penghibur tempatan masih terhad.

Suhaizan mencadangkan supaya Mat Sentol diangkat sebagai Seniman Negara adalah satu usaha yang baik sebagai menghargai segala jasa beliau semasa masih muda dahulu. “Bagi generasi saya, nama Mat Sentol adalah antara tokoh seni yang sentiasa menjadi ingatan kerana pada waktu itu tidak ramai penghibur yang mewarnai pentas hiburan tanah air,” katanya. Nama Mat Sentol terus dikenang sehingga hari ini dan sumbangan besar yang telah dicurahkan kepada dunia seni wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya

Beliau sempat menitipkan doa agar Allah panjangkan umur, memberikan kesihatan yang baik, mudahkan untuknya beribadah dan dipermudahkan psegala urusan.

“Saya kira jasa-jasa beliau yang telah lalu perlu kita hargai dengan mengiktiraf beliau sebagai seorang seniman. Insya-Allah,” katanya.

Program ziarah tersebut turut mencerminkan komitmen dalam menghargai jasa golongan karyawan veteran yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan seni dan budaya negara, selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian.
