PRN Johor: Suhaizan seru kempen berhemah, tolak provokasi dan pergaduhan

FOTO BERITA: Calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Larkin, Suhaizan Kaiat, memilih pendekatan turun padang dan bertemu seramai mungkin pengundi serta tokoh masyarakat sebagai strategi utama kempennya sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. (Gambar: FB Suhaizan/Harapandaily)

Beliau berkata, pendekatan bersemuka itu penting bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat selain memberi peluang untuk mendengar sendiri pandangan, cadangan dan keperluan penduduk di kawasan Larkin.

Menurutnya, setiap pertemuan bersama penduduk dan pemimpin komuniti menjadi ruang untuk membina hubungan yang lebih erat serta memahami isu-isu setempat dengan lebih dekat.

“Buat masa ini, pendekatan kami ialah berjumpa dengan seramai mungkin pengundi yang berada di sini, terutamanya tokoh-tokoh masyarakat. Hari ini kami berkesempatan bertemu dengan Encik Wahab dan juga Datuk Mat Sentol. Ini adalah antara usaha untuk lebih merapatkan hubungan saya dengan pemimpin serta masyarakat di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaizan mengingatkan semua anggota jentera pilihan raya supaya mengamalkan budaya berkempen secara matang, berhemah dan saling menghormati sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, sebarang provokasi atau pergaduhan hanya akan menjejaskan keharmonian masyarakat, sedangkan rakyat lebih mengutamakan kestabilan serta dasar yang mampu membawa manfaat kepada kehidupan mereka.

“Dalam suasana pilihan raya, pelbagai perkara boleh berlaku termasuk kekacauan atau pergaduhan. Namun apabila pilihan raya selesai, pergaduhan itu tidak memberi apa-apa keuntungan kepada sesiapa. Lebih baik kita mengambil pendekatan yang berhemah dan saling hormat-menghormati.

“Itulah yang sebenarnya diharapkan oleh rakyat. Mereka mahu melihat kita bertanding dalam suasana yang harmoni. Yang lebih penting ialah dasar-dasar yang baik dan manfaat yang akan mereka peroleh. Pergaduhan tidak memberi keuntungan kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai rutin sepanjang tempoh berkempen, Suhaizan berkata aspek kesihatan turut diberi perhatian bagi memastikan beliau mampu mengikuti jadual kempen yang padat setiap hari.

“Saya pastikan mendapat rehat yang mencukupi. Biasanya antara pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi adalah waktu tidur yang paling berkualiti bagi saya. Selepas itu jadual kempen sangat padat, jadi jika tidak cukup rehat, ia boleh menjejaskan prestasi pada siang hari.

“Saya juga menjaga pengambilan minuman dengan memperbanyakkan minum air kosong atau air suam supaya tenaga sentiasa terpelihara sepanjang berkempen,” katanya.
