Bekas Adun dedah ‘hipokrasi’ Pas: Mahu Melayu Islam pimpin Johor, tapi suruh undi calon MCA?

Seorang bekas pemimpin Pas mempersoalkan pendirian parti itu yang didakwanya bercanggah dengan naratif “kepimpinan Melayu Islam” apabila menggesa penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi, menyifatkan keadaan itu sebagai satu bentuk “hipokrasi politik” yang sukar dijelaskan.

Menurutnya, di kerusi DUN Layang-Layang, Pakatan Harapan (PH) melalui PKR mempertaruhkan calon berketurunan India, PN meletakkan calon Melayu daripada Bersatu, manakala BN mempertaruhkan calon daripada MCA.

Namun, katanya, arahan Presiden Pas supaya ahli parti mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN bermakna penyokong Pas di kawasan itu diminta mengundi calon MCA, walaupun calon Melayu daripada Bersatu turut bertanding.

“Suatu ketika, Pas canang soal kuasa politik Melayu Islam, tetapi dalam kes ini Pas minta undi calon Cina.

“Kalau bukan hipokrasi, apa?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut membangkitkan situasi di DUN Puteri Wangsa yang menurutnya lebih bercanggah dengan naratif dibawa Pas.

Di kerusi itu, PH mempertaruhkan calon PKR, Dr Maszlee Malik, yang juga tokoh Melayu Islam, manakala BN meletakkan calon MCA. Pas dan Bersatu pula tidak meletakkan calon.

“Jika pakai logik Presiden Pas, maka orang Pas kena undi calon BN Cina dan mengenepikan calon Melayu Islam PH.

“Sembang mahu Johor dipimpin oleh Melayu Islam, dalam kes ini calon PH Melayu Islam pula yang diketepikan,” katanya.

Bagaimanapun, Zolkharnain menegaskan beliau tidak berniat memainkan sentimen perkauman dan menganggap semua calon yang bertanding adalah rakyat Malaysia yang berhak dipilih berdasarkan keupayaan dan rekod perkhidmatan.

“Bagi aku, semua calon adalah warga Malaysia. Pilihlah berdasarkan rekod dan jangkaan keupayaan berkhidmat. Parti yang diwakili juga perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata, kritikannya ditujukan kepada apa yang disifatkannya sebagai sikap Pas yang terus menggunakan sentimen agama dan kaum untuk kepentingan politik.

Kenyataan itu hadir ketika Pas berdepan kritikan susulan pendirian parti berkenaan yang mengumumkan “perceraian politik” dengan Bersatu, namun masih kekal bersama dalam gabungan PN, selain mengarahkan jentera parti membantu kempen calon Pas dan parti komponen lain, tetapi bukan calon Bersatu dalam PRN Johor kali ini.

BACA JUGA Siang Bersatu, malam bersama Umno, bukti Pas pentingkan kuasa berbanding prinsip.