Puad ungkit episod DUN Johor, dakwa Onn Hafiz takut perbahasan
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pernah menunjukkan sikap tidak selesa terhadap perbahasan dan kritikan di DUN, susulan keengganannya menyertai debat terbuka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Puad, alasan bahawa budaya debat bukan “cara Johor” tidak boleh diterima kerana perdebatan yang berlangsung secara beradab dan berhemah adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.
“Siapa kata berdebat bukan cara Johor? Cara Johor ialah berdebat secara beradab, berhemah, tidak menengking dan tiada boo.
“Berdebat biar ada hujah dan rasional. Itu memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Puad berkata, beliau tidak terkejut dengan pendirian Onn Hafiz itu kerana mendakwa pernah berdepan situasi serupa ketika menjadi Speaker DUN Johor.
Beliau mendakwa Onn Hafiz pernah meminta supaya perbahasan mengenai Enakmen ADUN Lantikan tidak dibenarkan kerana bimbang pihak pembangkang menggunakan ruang tersebut untuk mengkritik program Bantuan Kasih Johor (BKJ).
“Saya tanya kenapa takut? Bukankah ia akan lulus sebab kerajaan menguasai majoriti dua pertiga?” katanya.
Menurut Puad, terdapat juga beberapa keadaan apabila beliau diminta memendekkan sesi soalan lisan dan tempoh perbahasan DUN.
Bagaimanapun, katanya, beliau menolak permintaan tersebut kerana menganggapnya tidak adil kepada wakil rakyat yang telah menyediakan soalan dan ingin mengambil bahagian dalam perbahasan.
“Ia juga merendahkan martabat DUN kerana nadi Dewan ialah soalan lisan daripada wakil rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Onn Hafiz sebenarnya mempunyai hujah yang mencukupi untuk mempertahankan pentadbirannya dan sepatutnya bersedia berdebat dengan mana-mana pihak.
Malah, Puad sekali lagi mengulangi cabarannya kepada Menteri Besar Johor itu.
“Kalau tidak berani dengan Dr Maszlee, berdebat dengan saya pun okey juga,” katanya.
Isu debat terbuka menjadi perhatian selepas beberapa pihak mencadangkan supaya calon-calon utama PRN Johor tampil dalam sesi perdebatan bagi membolehkan rakyat menilai idea, dasar dan kemampuan kepimpinan mereka secara langsung.
BACA JUGA Bekas Adun dedah ‘hipokrasi’ Pas: Mahu Melayu Islam pimpin Johor, tapi suruh undi calon MCA?