RENCANA | Bila pemimpin takut berdebat, ‘budaya Johor’ pula jadi alasan
Oleh Jason Lew
Cadangan debat terbuka antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, terus mencetuskan perbincangan selepas Onn Hafiz menolak pelawaan itu dengan alasan mahu mengekalkan keharmonian dan mengelakkan penyokong menjadi terlalu emosional.
Alasan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan, sejak bila perdebatan yang berlangsung secara terbuka, beradab dan berasaskan hujah dianggap boleh mengancam keharmonian masyarakat?
Dalam sistem demokrasi, debat bukanlah sesuatu yang asing. Ia menjadi medan untuk pemimpin mengemukakan idea, mempertahankan dasar dan meyakinkan rakyat tentang kemampuan mereka mentadbir.
Sejak dahulu, persaingan politik diukur melalui kekuatan hujah dan kemampuan menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat. Debat memberikan ruang kepada rakyat untuk menilai sendiri idea, visi dan keupayaan seseorang pemimpin.
Namun kebelakangan ini, budaya politik dilihat berubah apabila ada pemimpin yang enggan berhadapan secara terbuka dengan lawan politik, sebaliknya berlindung di sebalik alasan seperti “adab”, “budaya tempatan” atau bimbang penyokong menjadi emosional.
Hakikatnya, jika perdebatan dilakukan secara tertib dan profesional, ia tidak seharusnya menjadi ancaman kepada keharmonian. Sebaliknya, ia memperkukuh budaya demokrasi yang sihat dan matang.
Perbandingan yang dibuat dengan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) juga dianggap kurang tepat. Sidang DUN mempunyai peraturan tersendiri, termasuk kuasa Speaker mengawal perjalanan persidangan.
Sebaliknya, di pentas debat terbuka, rakyat dapat melihat sendiri bagaimana seseorang pemimpin menjawab soalan, mempertahankan pendirian dan menawarkan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
Di situlah kekuatan dan kelemahan seseorang pemimpin akan dinilai secara terus oleh rakyat.
Dalam demokrasi moden, pemimpin bukan sahaja perlu berani membuat keputusan, tetapi juga berani mempertanggungjawabkan idea dan dasar mereka di hadapan rakyat.
Menolak debat tidak semestinya satu kesalahan, namun ia membuka ruang kepada persepsi bahawa seseorang pemimpin cuba mengelak daripada diuji di gelanggang hujah.
Lebih penting, rakyat hari ini semakin matang dalam membuat penilaian. Mereka bukan sekadar melihat kepada retorik politik, sebaliknya mahu melihat keberanian, kecekapan dan kemampuan pemimpin mempertahankan dasar serta idea mereka.
Akhirnya, rakyat akan menentukan sendiri sama ada alasan menolak debat itu benar-benar demi menjaga keharmonian, atau sekadar jalan mudah untuk mengelakkan diri daripada berdepan pertanyaan dan kritikan secara terbuka.
BACA JUGA Puad ungkit episod DUN Johor, dakwa Onn Hafiz takut perbahasan