Baru tahu hanya dua negeri ini bayar cukai lebih besar daripada apa mereka dapat
OLEH NAZRI HAMDAN
Semasa sesi PMQT di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan satu data yang agak menarik tentang kutipan cukai dan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan di setiap negeri bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Menurut beliau, hanya Selangor dan Pulau Pinang membayar cukai lebih tinggi daripada jumlah perbelanjaan Persekutuan yang diterima.
Selangor mencatat purata kutipan cukai sekitar RM43.6 bilion setahun tetapi menerima perbelanjaan sekitar RM15 bilion.
Ini bermakna kerajaan Persekutuan membelanjakan hanya kira-kira 34% daripada hasil cukai yang dikutip di Selangor.
Pulau Pinang pula mengutip sekitar RM10.7 bilion dan menerima RM7.9 bilion, bersamaan kira-kira 74% daripada hasil cukai yang dikutip.
Dengan kata lain, kedua-dua negeri ini merupakan penyumbang bersih kepada kewangan negara.
Sebaliknya, kebanyakan negeri lain menerima perbelanjaan Persekutuan yang jauh melebihi hasil cukai yang dijana.
Sebagai contoh, Kelantan mengutip sekitar RM946 juta tetapi menerima RM8.9 bilion, iaitu hampir 9.4 kali ganda atau sekitar 941% daripada hasil cukainya.
Kedah pula mengutip RM3.7 bilion tetapi menerima RM9.5 bilion, bersamaan kira-kira 257% daripada kutipan cukai.
Terengganu pula selepas mengambil kira hasil petroleum mengutip antara RM2.2 hingga RM2.4 bilion, namun menerima sekitar RM7.8 bilion, iaitu lebih tiga kali ganda hasil yang dijana.

Johor pula hampir seimbang apabila mengutip sekitar RM14 bilion dan menerima RM16 bilion, bersamaan kira-kira 114% daripada hasil cukai yang dikutip.
Apa yang kita boleh nampak di sini ialah Malaysia mengamalkan sistem pengagihan semula hasil atau fiscal redistribution.
Nak faham macam ni..Bayangkan kerajaan mengutip RM100 cukai daripada Selangor.
Daripada jumlah itu, sekitar RM34 dibelanjakan semula di Selangor, manakala baki RM66 digunakan untuk membiayai pembangunan, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan bantuan di negeri-negeri lain.
Bagi Kelantan pula, jika kerajaan mengutip hanya RM100 hasil cukai, kerajaan sebenarnya membelanjakan sekitar RM941 di negeri tersebut.
Ini menunjukkan fungsi kerajaan Persekutuan bukan sekadar memulangkan semula cukai kepada negeri asal, tetapi mengagihkan sumber supaya setiap negeri terus mendapat kemudahan asas dan pembangunan walaupun kemampuan ekonominya berbeza.
Daripada data ini juga kita boleh nampak bahawa kekuatan ekonomi sesebuah negeri tidak semestinya menentukan jumlah pembangunan yang diterima.
Negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang mempunyai sektor perkilangan, perkhidmatan dan korporat yang besar, menyebabkan kutipan cukai mereka jauh lebih tinggi.
Sebaliknya, negeri-negeri yang ekonominya lebih kecil tetap menerima perbelanjaan yang besar kerana kerajaan Persekutuan perlu membiayai sekolah, hospital, jalan raya, subsidi, bantuan kebajikan, gaji penjawat awam dan projek pembangunan.
Sebab itu angka ini lebih menggambarkan bagaimana sistem kewangan negara berfungsi sebagai satu ekonomi yang dikongsi bersama, bukannya pertandingan antara negeri tentang siapa membayar lebih atau siapa menerima lebih.