Bang Mat turun padang di Bukit Pasir, janji suara rakyat Johor akan terus jadi keutamaan

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, atau lebih mesra dikenali sebagai Bang Mat, meneruskan siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan turun padang menyantuni penduduk di kawasan DUN Bukit Pasir

Bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi berkenaan, Kapt. (B) Hj. Najib Lep, Bang Mat berkata, beliau menziarahi penduduk setempat selepas selesai menghadiri program Jualan Agro MADANI.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, beliau meluangkan masa bagi bertemu secara dekat dengan masyarakat dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat di kawasan tersebut.

Menurut beliau, pendekatan turun padang seperti itu amat penting kerana ia membuka ruang kepada pimpinan untuk memahami secara langsung keperluan sebenar rakyat tanpa bergantung sepenuhnya kepada laporan atau maklum balas di atas kertas.

“Bagi Bang Mat, ziarah macam inilah peluang terbaik untuk bertemu rakyat, bertanya khabar dan mendengar sendiri apa yang mereka perlukan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Mohamad berkata, setiap suara dan harapan rakyat akan terus menjadi keutamaan dalam usaha memastikan pembangunan negeri bergerak seiring dengan kehendak masyarakat.

“Insya-Allah, setiap harapan rakyat akan terus menjadi keutamaan kita,” ujarnya.

Beliau pada masa sama mengajak rakyat Johor untuk bersama-sama meneruskan usaha membina masa depan negeri dengan memberikan sokongan kepada calon-calon PH dalam PRN kali ini.

Dengan slogan kempen “Johor Ke Depan, Undi Harapan”, Bang Mat menegaskan komitmen gabungan itu untuk terus membawa agenda pembangunan yang meletakkan kebajikan rakyat sebagai fokus utama.

Lebih jelas

Sementara itu, calon PH bagi kerusi DUN Bukit Pasir, Kapt. (B) Hj. Najib Lep berkata, interaksi secara terus dengan rakyat amat penting bagi memastikan setiap isu yang dihadapi masyarakat dapat difahami dengan lebih jelas, berbanding hanya bergantung kepada laporan semata-mata.

“Suasana santai ini memberi ruang untuk saya mendekati penduduk setempat, mendengar pandangan serta memahami sendiri keperluan harian masyarakat dalam suasana yang lebih dekat dan mesra,” katanya yang bersarapan pagi bersama penduduk Taman Bintang Emas seawal jam 7 pagi tadi.

Sebagai calon PH bagi PRN Johor untuk DUN N08 Bukit Pasir, Najib Lep, 63, menegaskan komitmen beliau untuk terus berada di lapangan dan bertemu seramai mungkin rakyat sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Tambah bekas pegawai tentera itu, setiap pertemuan bersama masyarakat mempunyai nilai yang besar kerana bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan penduduk.

Malah, ujarnya, ia memberi gambaran lebih jelas tentang realiti kehidupan harian yang sedang dihadapi rakyat.

“Saya akan terus turun ke lapangan, berjumpa dengan rakyat dan dengar sendiri suara mereka.

“Bagi saya, setiap pertemuan begini sangat bermakna kerana ia mengeratkan hubungan dan memberi kefahaman yang lebih dekat tentang kehidupan masyarakat,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Maszlee mahu bawa anak Johor pulang cari rezeki di negeri sendiri