Bersatu Sri Medan isytihar sokong PH? Video tular gegarkan kubu PN di Parit Sulong

Sebuah video yang tular di media sosial didakwa memaparkan beberapa pemimpin akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kawasan Sri Medan mengisytiharkan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan.

Dalam video itu, individu yang bertindak sebagai jurucakap mendakwa Ketua Jawatankuasa Bersatu Bandar Sri Medan, Jamain selaku Ketua Bersatu Air Putih, dan Taufik, Ketua Bersatu Sri Medan, akan menyokong calon PH, Hishamuddin Ishak.

Malah, video berkenaan diakhiri dengan laungan: “Pakatan Harapan! Pakatan Harapan! Boleh!”

Perkembangan itu dilihat sebagai tamparan kepada Perikatan Nasional (PN) di DUN Sri Medan, yang merupakan antara kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) di bawah Parlimen Parit Sulong.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, calon BN, Datuk Zulkurnain Kamisan, memenangi kerusi itu dengan majoriti besar sebanyak 6,274 undi.

Bagi PRN Johor kali ini, pertandingan tiga penjuru menyaksikan Ahmad Rosdi Bahari (PN-Pas), Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Umno) dan Hishamuddin Ishak (PH-PKR)

Sri Medan merupakan salah satu DUN di bawah Parlimen Parit Sulong dan dari segi pentadbiran parti, kawasan itu diletakkan di bawah Bersatu Bahagian Parit Sulong.

Bahagian itu sebelum ini diketuai oleh Datuk Ariss Samsudin. Namun, landskap politik tempatan berubah apabila Ariss melepaskan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Parit Sulong dan mengumumkan keluar daripada Bersatu sebelum kembali menyertai Umno pada April lalu.

Jika video tular itu benar-benar mencerminkan sentimen di peringkat akar umbi Bersatu, ia berpotensi memberi kesan kepada pola pengundian PN di Sri Medan, terutama dalam saingan tiga penjuru yang dijangka sengit.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada kepimpinan Bersatu Bahagian Parit Sulong mahupun Perikatan Nasional berhubung dakwaan sokongan terbuka beberapa pemimpin akar umbi mereka kepada calon Pakatan Harapan itu.

BACA JUGA Puad minta tangguh undi BN dalam PRN ini