Awas! Sindiket guna nama pegawai Jabatan Pertanian untuk tipu pembekal

Jabatan Pertanian Malaysia mendedahkan wujud sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama dan jawatan pegawainya bagi memalsukan dokumen Pesanan Kerajaan untuk memperdaya syarikat pembekal tempatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan pihaknya memandang serius aduan yang diterima berhubung kegiatan tersebut yang didakwa menyebabkan beberapa syarikat mengalami kerugian kewangan.

Menurut Jabatan Pertanian, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengeluarkan arahan pembekalan dan dokumen yang kononnya bagi pihak jabatan untuk mendapatkan bekalan dan perkhidmatan daripada syarikat tempatan.

“Taktik licik pihak tidak bertanggungjawab ini bertujuan memperdaya pihak syarikat pembekal tempatan bagi menyediakan bekalan dan perkhidmatan kononnya untuk program jabatan.

“Impak daripada aktiviti penipuan ini telah menyebabkan syarikat pembekal terpedaya dan mengalami kerugian kewangan sedangkan tiada sebarang perolehan rasmi dibuat oleh pihak jabatan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan nafi sekeras-kerasnya

Sehubungan itu, Jabatan Pertanian menegaskan bahawa pihaknya tidak terlibat sama sekali dalam sebarang dokumen Pesanan Kerajaan fizikal atau arahan pembekalan yang dikeluarkan di luar sistem rasmi kerajaan.

Menurut jabatan itu, tindakan pemalsuan tersebut merupakan satu jenayah berat yang bukan sahaja merugikan syarikat pembekal, malah mencemarkan imej dan kewibawaan Jabatan Pertanian serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Guna e-Perolehan, jangan terpedaya

Bagi mengelakkan lebih ramai pihak menjadi mangsa, Jabatan Pertanian mengingatkan semua urusan perolehan bekalan dan perkhidmatan kerajaan perlu dilakukan menerusi Sistem e-Perolehan (eP) rasmi.

“Jabatan Pertanian tidak mengeluarkan Pesanan Kerajaan secara manual atau melalui saluran peribadi,” tegas kenyataan itu.

Jabatan turut menasihatkan syarikat pembekal supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak jabatan sebelum menyediakan sebarang bekalan atau perkhidmatan yang diminta oleh mana-mana individu yang mengaku mewakili agensi berkenaan.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian menggesa orang ramai menyebarluaskan kenyataan penafian tersebut bagi melindungi kepentingan awam dan mengelakkan lebih ramai pihak menjadi mangsa penipuan.

BACA JUGA RENCANA | Politik tak lagi boleh dimenangi dengan ketakutan kaum?