Ramai rupanya masih keliru caj RM1 di bank
Bermula semalam, semua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan Smart Recycler Machine (SRM) seluruh negara tidak lagi mengenakan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mana-mana mesin ATM dan SRM di seluruh negara.
Pengumuman ini hanya terpakai kepada mesin-mesin ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia.
Namun timbul beberapa isu apabila pengguna media sosial mendakwa mereka masih dikenakan caj RM1 ketika mengeluarkan duit, sekali gus menimbulkan keleliruan dalam kalangan pengguna.
Mereka tertanya mengapa masih dikenakan caj tersebut walhal pemansuhan sudah pun bermula.
Kemungkinan besar, mereka merujuk kepada pengeluaran duit melalui mesin MEPS ATM yang bukan milik atau dikendalikan oleh bank.
Untuk pengetahuan, MEPS ATM tidak termasuk di dalam pelaksanaan pemansuhan caj RM1 kerana ia bukan ATM yang dioperasikan oleh bank. Itulah sebabnya ada pengguna masih dikenakan caj.
Ada juga mendakwa masih dikenakan caj RM1 walaupun membuat pengeluaran duit melalui ATM bank Malaysia. Pun begitu tidak dapat dipastikan dakwaan tersebut.
Sebaliknya beberapa pengguna lain berkata, mereka tidak lagi dikenakan caj RM1 apabila membuat pengeluaran wang tunai antara bank seperti mengeluarkan wang dari akaun Maybank melalui mesin ATM RHB.