Onn Hafiz patut cermin diri sebelum sindir PH, kad laporan BN Johor pun masih sorok
Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi ditempelak supaya membentangkan rekod pentadbiran sendiri terlebih dahulu sebelum menyindir Pakatan Harapan (PH) berhubung soal manifesto.
Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kenyataan Onn yang meminta PH menunaikan manifesto lama sebelum menawarkan janji baharu kepada rakyat Johor sebenarnya kembali memakan diri.
Fadhli berkata, prinsip bahawa setiap parti wajib menjawab pelaksanaan manifesto memang benar, namun ia juga terpakai kepada BN Johor yang telah memerintah negeri itu lebih empat tahun selepas memperoleh mandat.
“Lebih empat tahun selepas BN memperoleh mandat melalui Ikhtiar BN Johor 2022, rakyat masih belum melihat kad laporan lengkap yang menyatakan janji mana telah ditunaikan, mana masih tertangguh dan mana telah dilupakan,” tempelaknya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, BN Johor kini tampil pula dengan 63 tekad baharu bersama angka yang jauh lebih besar, sedangkan beberapa janji lama masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Jelasnya, sebagai contoh janji 100,000 peluang pekerjaan yang dibuat BN pada 2022, namun Belanjawan Johor 2026 hanya merekodkan lebih 64,000 peluang pekerjaan.
Namun, kata Fadhli, BN kini menjanjikan pula 200,000 peluang pekerjaan baharu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada janji lama telah benar-benar disempurnakan sebelum angka baharu dilambakkan kepada rakyat.
Dalam isu perumahan pula, pemimpin muda AMANAH itu berkata, hanya 21,412 daripada sasaran 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor dilaporkan siap dan diserahkan setakat suku pertama 2026.
Walau bagaimanapun, ujarnya, BN sudah pun mengemukakan janji baharu untuk membina 70,000 unit tambahan.
“Janji lama belum selesai, janji baharu sudah dilambakkan. Adakah BN menyangka rakyat Johor mudah diperbodohkan dengan janji bulan dan bintang serta angka yang semakin besar setiap kali pilihan raya?
“Kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” bidasnya.
Pencapaian PH
Fadhli turut menegaskan bahawa jika Onn Hafiz mahu membandingkan rekod, beliau perlu berlaku jujur terhadap pencapaian PH ketika mentadbir Johor.
Hujahnya, rekod rasmi Dewan Negeri Johor pada Disember 2018 menunjukkan kerajaan PH Johor telah melaksanakan kesemua 10 janji dalam tempoh 100 hari.
Antara janji itu termasuk pemberian 10 meter padu air percuma kepada golongan B40, Kad Sihat, diskaun tunggakan sewa PPR, Insentif Harapan Siswa, Skim Takaful Warga Emas, kursus kahwin percuma dan pengecualian bayaran lesen penjaja kecil.
“PH bukan sekadar melancarkan manifesto, malah melaksanakan tawaran yang dijanjikan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Apakah kad laporan setara yang boleh dikemukakan oleh Onn Hafiz selepas lebih empat tahun memerintah?” soalnya.
Fadhli berkata, kerajaan BN Johor masih berhutang jawapan kepada rakyat berhubung baki sasaran pekerjaan dan perumahan, selain status beberapa program lain yang pernah dijanjikan.
Antaranya termasuk Program Makanan Berkhasiat untuk pelajar SAKJ, Institut Wanita Johor, rumah transit, skim Sewa untuk Beli serta kenaikan elaun Imam, Bilal, Noja dan Siak.
Beliau berkata, pengumuman pelaburan dan pelancaran projek semata-mata tidak boleh menggantikan keperluan audit menyeluruh terhadap janji yang pernah digunakan BN untuk meraih sokongan rakyat.
“Dato’ Onn Hafiz boleh terus menyindir PH, tetapi sindiran itu hanya memakan diri selagi kad laporan Ikhtiar BN Johor masih disorokkan.
“Cermin diri dahulu sebelum mengajar orang lain tentang amanah. Bentangkan kad laporan, jawab janji lama dan biarkan rakyat Johor menilai siapa sebenarnya yang cakap tidak serupa bikin,” kata Fadhli lagi.