Kerajaan MADANI buka laluan anak muda B40 miliki lesen, hampir 1,900 peserta MyLesen B2 Negeri Sembilan terima PDL

Seramai 1,879 peserta Program MyLesen B2 di Negeri Sembilan diraikan selepas berjaya lulus ujian kompeten dan menerima Lesen Memandu Percubaan (PDL), sekali gus membuktikan inisiatif Kerajaan MADANI terus memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, program yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memperkukuh agenda keselamatan jalan raya, khususnya dalam memastikan lebih ramai belia dan golongan B40 memiliki lesen motosikal secara sah.

Menurut MOT, program MyLesen B2 bukan sahaja membantu rakyat yang berdepan kekangan kewangan, malah turut mendidik peserta menjadi pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin, selamat dan bertanggungjawab.

“Sebagai inisiatif Kerajaan MADANI, program ini memastikan kekangan kewangan tidak menghalang golongan belia dan keluarga berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen memandu secara sah dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Bagi tahun 2026, kuota Program MyLesen B2 di Negeri Sembilan ditingkatkan kepada 2,300 peserta berbanding hanya 1,000 peserta pada tahun 2025.

Peningkatan itu menyaksikan sambutan memberangsangkan apabila sebanyak 2,929 permohonan diterima, dengan 2,315 pemohon disahkan layak menyertai program berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 1,979 peserta berjaya memperoleh Lesen Belajar Memandu (LDL), manakala 1,879 peserta yang lulus ujian kompeten diraikan dalam majlis penyerahan PDL.

Kejayaan peserta

MOT berkata, kejayaan peserta mendapatkan lesen motosikal B2 secara sah memberi kesan lebih luas kepada kehidupan mereka, termasuk membuka peluang pekerjaan, pendidikan dan peningkatan taraf sosioekonomi.

Program itu turut dilihat sebagai langkah penting dalam mengurangkan risiko pemanduan tanpa lesen, selain memastikan pengguna motosikal memiliki pengetahuan asas undang-undang jalan raya serta kemahiran pemanduan yang betul.

MOT dan JPJ menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh inisiatif seumpama itu bagi membina ekosistem pengangkutan yang mampan, selamat dan inklusif.

Menurut kementerian itu lagi, usaha berkenaan selari dengan matlamat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan, terutama dalam menyediakan akses kepada kemudahan asas yang mampu meningkatkan kualiti hidup golongan memerlukan.

BACA JUGA Ketua Pemuda Umno ‘kantoi’ bab KDNK, saiz ekonomi dan pertumbuhan pun tak reti beza