Lima tekad Soraya fokus ekonomi, kebajikan dan masa depan Sungai Balang
Soraya Badaruddin menggariskan lima tekad utama yang akan menjadi fokus perjuangannya sekiranya diberi mandat mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Sungai Balang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, lima tekad berkenaan dirangka hasil daripada pertemuan, sesi mendengar luahan serta memahami keperluan penduduk sepanjang tempoh berkempen.
Beliau membawa matlamat untuk memperkenal satu pelan tindakan yang realistik dan menyeluruh demi kesejahteraan seluruh warga di Sungai Balang.
Beliau berkata, perancangan itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya komitmen untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengangkat potensi penuh Sungai Balang
Lima tekad yang digariskan Soraya ialah:
1. Memperkasa Ekonomi Tempatan
Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti serta menyokong ekosistem usahawan tempatan, komuniti nelayan, petani, dan syarikat perniagaan kecil agar roda ekonomi Sungai Balang terus berkembang pesat dan berdaya tahan.
2. Meningkatkan Infrastruktur & Ketersambungan
Memperjuangkan jaringan jalan raya yang lebih baik, sistem saliran yang cekap, akses internet berkelajuan tinggi untuk kemudahan digital, pengangkutan awam yang teratur, serta kemudahan awam yang moden dan selesa untuk semua.
3. Melahirkan Modal Insan Berdaya Saing
Memperluaskan akses pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), menyediakan program latihan kemahiran, serta membuka peluang pembangunan kepimpinan yang meluas buat golongan belia.
4. Memperkukuh Kebajikan & Kesejahteraan Rakyat
Memastikan sistem penyampaian bantuan yang menyeluruh, adil, dan bersasar kepada warga emas, ibu tunggal, golongan OKU, serta komuniti B40 di samping memperkukuh kualiti perkhidmatan kesihatan setempat dan kesejahteraan komuniti.
5. Membina Sungai Balang Sebagai DUN Berdaya Saing & Mampan
Memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor perikanan, pertanian moden, pelancongan domestik, dan ekonomi digital, di samping memelihara kelestarian alam sekitar supaya Sungai Balang menjadi sebuah kawasan yang kondusif untuk didiami, bekerja, serta membina masa depan generasi baharu.
Iltizam ini bukan sekadar janji, tetapi ia adalah tekad saya untuk berkhidmat demi mengangkat potensi penuh Sungai Balang. Perubahan yang kita dambakan memerlukan sokongan dan mandat padu daripada setiap lapisan masyarakat.
Beri saya peluang untuk menterjemahkan tekad ini menjadi realiti. Satu undi untuk masa depan yang lebih gemilang. Satu undi untuk kestabilan dan kemakmuran bersama.
Undi saya Calon No. 3 Soraya Badaruddin untuk N16 Sungai Balang.