Lulusan kejuruteraan robotik ini ada pelan besar untuk Tenang, apa Elia Nadira mahu bawa?
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Elia Nadira, menggariskan tiga tawaran utama yang akan diketengahkan sekiranya diberi mandat untuk mewakili kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, tawaran tersebut bertujuan membawa DUN Tenang menjadi kawasan yang lebih maju, berilmu, lestari dan sejahtera menerusi pembangunan pendidikan, pelancongan serta pertanian.
Menurutnya, penglibatannya dalam khidmat masyarakat di Johor telah menjangkau puluhan tahun sejak bergelar mahasiswa dan sukarelawan kemasyarakatan, selain pengalaman menetap serta bergerak aktif di Labis memberinya kefahaman terhadap keperluan sebenar penduduk Tenang.
“Saya, Elia Nadira, calon HARAPAN bagi N.05 DUN Tenang, tampil dengan satu tekad yang jelas iaitu membawa Tenang ke hadapan sebagai sebuah kawasan yang lebih maju, berilmu, lestari dan sejahtera.
“Pembangunan Tenang tidak boleh lagi berasaskan kaedah lama atau sekadar retorik politik. Kita memerlukan pelan tindakan yang realistik dan boleh dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah tawaran pertama, Elia berhasrat memperkasa pendidikan dan literasi digital melalui kerjasama strategik bersama universiti serta syarikat teknologi bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pembangunan komuniti dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengekodan (coding) serta sains data.
Beliau yang memiliki latar belakang Sarjana Kejuruteraan Elektrik (Robotik) turut berhasrat mendidik golongan muda menggunakan teknologi secara produktif untuk pembelajaran dan penjanaan pendapatan pada masa hadapan.
Bagi tawaran kedua, Elia mahu merancakkan sektor pelancongan alam semula jadi dan rekreasi di Tenang dengan membantu pengusaha inap desa serta peniaga kecil meningkatkan daya tarikan produk pelancongan melalui latihan pemasaran digital dan keusahawanan.
Selain itu, beliau turut merancang menjalin kerjasama dengan pempengaruh bagi mempromosikan Tenang sebagai destinasi percutian hujung minggu kepada pelancong, khususnya dari Johor Bahru dan kawasan sekitar.
Menerusi tawaran ketiga, Elia memberi tumpuan kepada usaha memajukan sektor pertanian dan memperkasakan komuniti FELDA.
Beliau berkata, antara inisiatif yang dirancang ialah pelaksanaan projek rintis teknologi pintar (smart farming) melalui kerjasama dengan syarikat teknologi dan universiti bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian.
Dalam masa sama, beliau mahu memperluas pasaran produk hasil tani tempatan menerusi peningkatan sektor ekopelancongan dan agropelancongan, selain menarik minat golongan muda menceburi sektor pertanian sebagai kerjaya berpendapatan tinggi.
Elia berkata, sebagai seorang jurutera, beliau percaya pendekatan berasaskan data dan tindakan yang berkesan mampu membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di DUN Tenang.
“Saya dengan penuh rendah diri memohon sokongan dan kepercayaan daripada seluruh warga N.05 DUN Tenang. Berikan saya peluang untuk membuktikan bahawa dengan kepakaran teknikal, kerja keras dan keikhlasan, kita mampu membina masa depan Tenang yang jauh lebih baik,” katanya.