Dulu kami dipanggil jebon kerana halang Pas-Umno, hari ini siapa jebon yang sebenar?

OLEH DATUK MAHFUZ OMAR

Selama 34 tahun saya berada dalam Pas. Saya pernah memimpin Pemuda Pas, menjadi Ketua Penerangan dan Naib Presiden. 

Saya naik pentas siang malam, berceramah melawan Umno dan meminta orang kampung menderma atas nama perjuangan Islam.

Apabila kami mula nampak Pas sedang dibawa perlahan-lahan menuju Umno kami tegur. 

Kami bantah kerana kami tidak mahu perjuangan yang dibina puluhan tahun akhirnya diserah begitu sahaja kepada parti yang selama ini diminta ahli Pas lawan.

Pemimpin Pas tidak menjawab perkara yang kami bangkitkan. Mereka pilih jalan paling mudah. 

Mereka panggil kami jebon, burukkan nama kami dan tanam kebencian dalam kalangan ahli supaya penjelasan kami tidak lagi mahu didengar.

Kami difitnah bukan kerana mengkhianati Pas. Kami difitnah kerana cuba menghalang Pas daripada mengkhianati perjuangannya sendiri. Kami baru menghalang pintu menuju Umno pun sudah dihukum sebagai pengkhianat.

Saya tidak salahkan ahli Pas yang pernah memanggil kami jebon. Mereka percaya kepada cerita yang dibawa oleh pemimpin. Kami pun dahulu percaya kepada pemimpin. Bezanya, kami nampak lebih awal ke mana Pas sedang dibawa.

Hari ini Pas sendiri sudah berdiri di depan pintu yang sama. Dahulu, baru nampak bayang Umno pun kami dihina dan dibuang. 

Hari ini apabila Pas sendiri mahu membuka jalan kepada Umno, tiba-tiba perkara yang sama diberi nama penyatuan ummah.

Kalau strategi politik sudah berubah, cakaplah strategi sudah berubah. Jangan ketika mahu melawan Umno, ia dicat sebagai perjuangan Islam. 

Apabila mahu bersama Umno keputusan yang bertentangan itu juga dicat dengan agama. Agama bukan getah yang boleh ditarik ke kiri dan ke kanan mengikut kehendak politik.

Kalau bersama Umno hari ini dianggap betul, pemimpin Pas wajib menjawab apakah dosa kami dahulu sehingga dihina, difitnah dan digelar Jebon kerana cuba menghalang perkara yang sama. 

Jangan kata keputusan dahulu betul dan keputusan hari ini pun betul. Dua jalan yang bertentangan tidak boleh kedua-duanya dihukum sebagai perjuangan Islam hanya kerana pemimpin yang berkata demikian.

Sebab itu saya melihat corak yang sama sedang berulang terhadap Bersatu. Dahulu kami diburukkan sebelum ditinggalkan. 

Hari ini Bersatu pula diburukkan apabila dianggap menghalang kehendak politik Pas. Rosakkan nama kawan dahulu, selepas itu mudahlah hendak meninggalkannya.

Jangan kata kami keluar kerana kecewa tidak mendapat jawatan. Kalau jawatan yang saya kejar, jalan paling mudah ialah diam, angguk dan kekal dalam Pas. 

Saya memilih keluar kerana saya tidak sanggup mengiyakan perkara yang saya percaya salah.

Saya tidak minta sesiapa percaya kepada saya hanya kerana nama saya Mahfuz Omar. Lihat sendiri perjalanan kami. Lihat juga perjalanan Pas. Apa yang kami beri amaran dahulu, hari ini sedang berlaku satu demi satu di depan mata ahli Pas sendiri. Pas sedang menjual undi ahlinya kepada Umno.

Kami tidak meninggalkan perjuangan. Tapi kami enggan mengikut apabila perjuangan itu mula dikhianati oleh pemimpinnya sendiri.

Kami yang menghalang Pas dibawa kepada Umno dipanggil jebon. Hari ini Pas sendiri membuka jalan kepada Umno. Maka sebelum menuduh orang lain, jawab dahulu: Siapa sebenarnya yang meninggalkan perjuangan, dan siapa jebon yang sebenar?

BACA JUGA Lulusan kejuruteraan robotik ini ada pelan besar untuk Tenang, apa Elia Nadira mahu bawa?