Rakyat Johor berang bila PRN digunakan untuk bebas Najib
Kenyataan anak kepada Datuk Seri Najib Razak yang mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan harapan rakyat untuk melihat bapanya bebas, mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan sebahagian pengundi di negeri itu.
Pemerhati politik, Norman Radzuan berkata, berdasarkan pemerhatian dan maklum balas yang diterima sehingga lewat malam semalam, ramai rakyat Johor meluahkan rasa tidak senang apabila pilihan raya negeri dikaitkan dengan usaha membebaskan Najib, berbanding memberi tumpuan kepada isu kebajikan dan kos sara hidup rakyat.
Norman mendakwa antara reaksi yang diterimanya ialah daripada seorang mekanik motosikal yang berkata, mereka akhirnya sedar mengapa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz bersungguh mahu mengadakan pilihan raya.
Pengguna media sosial juga meluahkan kemarahan terhadap naratif berkenaan, dengan sebahagian daripada mereka menegaskan bahawa pengundi Johor tidak mudah dipermainkan.
“Seorang abang mekanik motor beritahu, “‘Dia ingat orang Johor ini bodoh sangat ke. Kami hairan tiba-tiba pilihan raya rupanya Onn Hafiz guna rakyat Johor nak lepaskan Najib, bukannya nak lepaskan masalah rakyat yang masih ramai dalam kemiskinan.
“Kajian dibuat hingga 11 mlm tadi, ribuan rakyat Johor berang dan menzahirkan di semua platform. ‘Orang Johor bukan sebodoh disangka’ denfan segala cacian dilemparkan.
“Bila Onn menggunakan rakyat Johor konon rindukan Najib, graf sokongan kepada Umno Johor jatuh teruk. Pengundi bukan Melayu dari kaum Cina dan India sangat berang bila undang-undang negara seolah dipermainkan,” katanya dalam satu ulasan di Facebook.
Katanya lagi, ramai mula mempersoalkan tujuan sebenar PRN Johor diadakan jika ia dilihat lebih tertumpu kepada isu pembebasan Najib berbanding usaha menyelesaikan masalah rakyat
“Tanda tanya kejutan pilihan raya mengejut ini rupanya bukan untuk membela rakyat tetapi hanya untuk membela Najib Razak yang dianggap pemimpin paling korup dalam sejarah dunia moden.
“Sinis seorang bangsa Johor di kedai kopi. ‘Dompak harta rakyat untuk keluarga hidup senang sampai ke anak cucu cicit, kemudian keluarga mereka pergunakan rakyat nak bebaskan bapa dia…?’,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, jika BN menang besar di Johor, ia menjadi isyarat bahawa rakyat bukan sahaja menyokong BN, tetapi juga masih mengharapkan Najib Razak dapat bersama semula dengan rakyat.
“Kalau BN menang besar, ia menjadi isyarat bukan sahaja rakyat Johor menyokong BN dan kepimpinan negeri, tetapi mereka juga masih sayangkan ‘Bossku’ dan mengharapkan beliau dapat bersama semula dengan rakyat.
“Kalau ada yang nak letak jawatan, lebih baik letak jawatan sekarang. Tak payah tunggu kita menang,” katanya
BACA JUGA PRN Johor jadi referendum Bossku? Anak Najib cuba seret pengundi ke naratif pengampunan