Pas kata tiada keperluan bentang manifesto PRN Johor
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat, tiada keperluan untuk calon parti itu yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk mengemukakan sebarang tawaran atau manifesto.
Beliau berkata, manifesto hanya diperlukan sekiranya mereka mahu mengambil alih kerajaan negeri, namun dalam hal ini katanya, Pas hanya bertanding 11 daripada 56 kerusi.
“Saya fikir parti tidak perlu kemukakan manifesto. Manifesto ni kalau kita mahu mengambil alih kerajaan negeri. Secara umumnya jumlah kerusi kita bertanding tidak banyak iaitu 11 daripada 56 kerusi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pasir Mas hari ini.
Pun begitu beliau berkata, ada beberapa tawaran dibuat di kawasan tertentu mengambil kira keperluan pengundi.
“Secara spesifik, ada beberapa tawaran dibuat di kawasan tertentu. Kita ambil kira keperluan pengundi di kawasan itu, untuk selesai masalah di situ.
“Jadi saya fikir yang penting peranan kita dalam dewan negeri, jadi semak dan imbang pada pentadbiran kerajaan negeri,” katanya lagi memetik Harian Metro.