Johor untung jika kerajaan negeri dan persekutuan bergerak seiring -Saifuddin

FOTO BERITA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru pengundi Johor membuat pilihan berdasarkan rekod, manifesto dan keupayaan mentadbir, bukannya dipengaruhi retorik politik atau sentimen yang mengelirukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah ‘Johor Ke Depan, Undi Harapan’ bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adly Zahari dan Aminolhuda Hassan di parkir bersebelahan Wisma SBBU, di sini, malam tadi.

Saifuddin berkata hanya dua gabungan politik yang benar-benar menawarkan diri untuk membentuk kerajaan negeri iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan, manakala beliau menyifatkan Perikatan Nasional (PN) tidak menunjukkan kesungguhan untuk mentadbir Johor.

“Pilihan raya ini bukan perkara kecil. Mandat yang diberi adalah untuk lima tahun. Sebab itu rakyat perlu menilai manifesto, rekod kerja dan keupayaan mentadbir sebelum membuat keputusan,” katanya. Beliau berkata Johor mempunyai potensi ekonomi yang besar, khususnya menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, zon ekonomi itu berjaya menarik komitmen pelaburan hampir RM78 bilion hasil kerjasama erat kedua-dua negara dalam mempromosikan Johor sebagai destinasi pelaburan strategik. Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan turut mengambil langkah menyelesaikan isu kesesakan di pintu masuk Johor-Singapura menerusi pemodenan sistem imigresen negara.

Beliau berkata sistem baharu yang menggantikan sistem lama akan menggunakan teknologi seperti pengecaman wajah dan kod QR bagi mempercepatkan proses pemeriksaan, sekali gus mengurangkan kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

“Semua ini memerlukan keberanian membuat keputusan dan komitmen untuk melaksanakannya. Hasil akhirnya ialah manfaat kepada rakyat Johor,” katanya. Beliau turut memaklumkan projek Rapid Transit System (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands dijangka mula beroperasi mengikut jadual dan mampu membawa sehingga 120,000 penumpang sehari apabila beroperasi sepenuhnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan Persekutuan memberi perhatian besar kepada pembangunan Johor dengan menyalurkan perbelanjaan pembangunan yang melebihi hasil cukai dikutip daripada negeri itu Katanya, walaupun Johor menyumbang kira-kira RM14 bilion hasil kepada kerajaan Persekutuan setiap tahun, kerajaan membelanjakan semula sekitar RM16 bilion untuk pembangunan negeri tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik dan tadbir urus kewangan yang baik membolehkan kerajaan memperkukuh kebajikan rakyat menerusi pelbagai bantuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan, subsidi bersasar serta Program SARA. Menurutnya, hasil penguatkuasaan terhadap ketirisan dan penyeludupan berjaya menyelamatkan kira-kira RM16 bilion hasil negara yang kemudiannya disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif.

Menurutnya, hasil penguatkuasaan terhadap ketirisan dan penyeludupan berjaya menyelamatkan kira-kira RM16 bilion hasil negara yang kemudiannya disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif. “Perdana Menteri sentiasa mengingatkan supaya tidak berlaku pembaziran, ketirisan, penyelewengan dan rasuah. Apabila kewangan negara diurus dengan baik, hasilnya dapat dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

“Jika Putrajaya dan Johor bergerak seiring, lebih banyak agenda pembangunan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.
