‘Uncle MCA’ bengang? Ajak pengundi pilih PH
Seorang lelaki yang mendakwa dirinya bekas pimpinan MCA menjadi perhatian selepas sebuah video memaparkan beliau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan negeri Johor tular di media sosial.
Dalam video berkenaan, lelaki yang dikenali netizen sebagai “Uncle MCA” itu mendakwa kecewa dengan sikap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menurutnya enggan bekerjasama dengan DAP jika menang dan membentuk kerajaan selepas pilihan raya negeri,
Walaupun video itu tidak menyebut nama Onn Hafiz secara langsung, lelaki terbabit dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Johor berdasarkan konteks ucapannya.
Menurutnya, sikap sedemikian tidak mencerminkan kepimpinan yang sesuai bagi sebuah negeri majmuk seperti Johor yang dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Kalau jadi Menteri Besar, semua rakyat perlu dilayan sama rata. Johor negeri berbilang kaum, bukan untuk satu kaum sahaja,” katanya dalam video yang kini tular di pelbagai platform media sosial.
Beliau turut mendakwa pendekatan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian politik serta hubungan antara kaum, selain menggesa pengundi memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Video berkenaan turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ada yang menyifatkan pandangan itu sebagai luahan peribadi seorang bekas penyokong Barisan Nasional (BN), manakala sebahagian lagi meminta semua pihak tidak membuat kesimpulan sebelum mendapat penjelasan daripada pihak yang dirujuk.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Onn Hafiz atau kerajaan negeri Johor berhubung dakwaan yang terkandung dalam video tersebut.
BACA JUGA Johor untung jika kerajaan negeri dan persekutuan bergerak seiring -Saifuddin