Arthur Chiong pertaruh 7 tekad, fokus kerja, kesihatan dan pendidikan di Bukit Batu
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern menggariskan tujuh tekad yang memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan belia sebagai agenda utama sekiranya terus diberi mandat oleh pengundi.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Arthur berkata Bukit Batu kini berkembang pesat sebagai kawasan strategik dengan kehadiran industri berteknologi tinggi, pusat data, kawasan perumahan baharu dan komuniti berbilang kaum.
Menurut beliau, pembangunan tersebut perlu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan, pendidikan, kemudahan kesihatan, infrastruktur dan peningkatan kualiti hidup.
“Sepanjang saya diberi amanah sebagai Ahli Dewan Negeri sebelum ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan bersama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu rakyat.
“Saya percaya masih banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan Bukit Batu terus menjadi kawasan yang maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Tekad pertama yang digariskan ialah mewujudkan Program Jambatan Kerjaya Industri Pusat Data, termasuk memperluaskan pangkalan data pencari kerja serta memperkasa latihan peningkatan kemahiran melalui kerjasama dengan HRD Corp dan pemain industri.
Beliau berkata usaha itu bertujuan memastikan lebih ramai anak tempatan memperoleh pekerjaan berkualiti dalam sektor pusat data yang sedang berkembang di Johor.
Arthur turut berjanji memperjuangkan pelebaran Jalan Persekutuan FT001 serta pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam aspek kesihatan, beliau mahu menaik taraf Klinik Kesihatan Kelapa Sawit supaya mampu menampung pertambahan penduduk dengan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik.
Beliau juga menggariskan komitmen untuk memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan vape dan dadah dalam kalangan belia melalui kerjasama antara agensi kerajaan, sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Selain itu, Arthur mahu memperkasa sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi, agro dan komuniti di Bukit Batu bagi menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Dalam sektor pendidikan, beliau berjanji memperjuangkan pembinaan sekolah baharu, menaik taraf kemudahan sekolah sedia ada serta meneruskan kelas tuisyen percuma bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk membantu pelajar menghadapi peperiksaan awam.
Menurut Arthur, tujuh tekad tersebut bukan sekadar manifesto pilihan raya, sebaliknya kesinambungan kepada usaha yang telah dan sedang dilaksanakannya sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan penting bagi memastikan lebih banyak projek pembangunan dapat dibawa ke Bukit Batu.
“Saya akan terus menjadi suara rakyat di Dewan Undangan Negeri dan memastikan setiap isu dibawa kepada perhatian kerajaan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Saya yakin dengan sokongan rakyat serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan, Bukit Batu mampu muncul sebagai kawasan yang lebih moden, progresif, berdaya saing dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik untuk semua,” katanya.