Johor negeri kaya, tetapi rumah rakyat masih mahal – PMX
Kekayaan Johor tidak seharusnya hanya diterjemahkan kepada projek pembangunan bernilai berbilion ringgit, sebaliknya perlu dirasai rakyat menerusi penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, harga rumah yang terus tinggi di negeri itu berpunca daripada kegagalan pentadbiran negeri menyediakan bekalan perumahan yang mencukupi untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Katanya, walaupun Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Johor, penyediaan rumah untuk pegawai kerajaan, anggota polis, tentera dan golongan pekerja masih jauh daripada mencukupi.
“Kerajaan Persekutuan sudah jaga banyak projek pembangunan di Johor, tetapi saya tengok rumah untuk pegawai kerajaan, polis, tentera dan pekerja masih tidak mencukupi.
“Pembangunan naik berbilion ringgit, tetapi rumah rakyat mahal. Ini kerja negeri. Negeri tak buat, jadi saya mesti campur dan minta kerajaan negeri sama (sealiran) dengan PH supaya kita boleh bangunkan rumah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Yok Sarap!’ bersama calon-calon Pakatan Harapan (PH) di sebuah kedai kopi di Medan, Pekan Senggarang, pagi tadi.
Turut hadir calon PH bagi DUN Senggarang, Onn Abu Bakar; DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri; dan DUN Penggaram, Felicia Poh.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan mempercepatkan pelaksanaan projek perumahan rakyat serta memperkukuh agenda kebajikan.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tanpa mengira latar belakang politik penerima, namun usaha itu perlu disokong oleh kerajaan negeri.
“Kita hormat hak rakyat. Orang susah kena bantu, makan kurang kena bantu dan tak perlu beratur atau dengar ucapan baru dapat bantuan.
“Kita kena ajar cara mentadbir negeri supaya lebih teratur dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Johor mempunyai kekuatan ekonomi yang besar, namun kemakmuran negeri itu tidak sepatutnya hanya dinikmati segelintir pihak.
“Johor negeri kaya. Tak mahu beberapa orang sahaja jadi kaya, tetapi rakyat ramai masih susah.
“Sebab itu negeri ini kena sealiran dengan Kerajaan Persekutuan. Pakatan Harapan mesti diberi peluang mentadbir supaya kita boleh bawa perubahan,” katanya.
BACA JUGA Arthur Chiong pertaruh 7 tekad, fokus kerja, kesihatan dan pendidikan di Bukit Batu