Akmal disifatkan gagal bezakan harga pasaran dengan rumah rakyat – AMK Johor
Isu sebenar berhubung perumahan di Johor bukanlah negeri mana mempunyai harga rumah paling mahal, sebaliknya sama ada rakyat masih mampu memiliki kediaman sendiri di tengah-tengah pembangunan hartanah yang semakin pesat.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor yang juga calon Pakatan Harapan (PH) DUN Kempas, Faezuddin Puad, perbezaan antara harga pasaran rumah dan tanggungjawab kerajaan menyediakan rumah mampu milik tidak sepatutnya dikelirukan dalam perbahasan awam.
Beliau berkata kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang membandingkan harga rumah di Johor dengan Selangor dan Kuala Lumpur tidak menjawab isu sebenar yang dibangkitkan Perdana Menteri.
“Perdana Menteri tidak pernah membuat pertandingan negeri mana mempunyai harga rumah paling mahal. Persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada kerajaan negeri memastikan rakyat mempunyai akses kepada rumah mampu milik yang mencukupi, mampu dibeli dan dibina di lokasi yang sesuai apabila pembangunan hartanah berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Faezuddin, harga pasaran rumah ditentukan oleh mekanisme pasaran, manakala penyediaan rumah mampu milik merupakan tanggungjawab kerajaan yang perlu dilaksanakan melalui dasar dan perancangan yang berkesan.
Katanya, kegagalan membezakan dua perkara tersebut hanya mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat.
“Bukan kali pertama perkara ini berlaku. Sebelum ini beliau juga gagal membezakan antara saiz ekonomi dengan kadar pertumbuhan ekonomi. Kini isu rumah rakyat pula disalah tafsir,” katanya.
Bagi menyokong hujahnya, Faezuddin membandingkan pencapaian program perumahan di beberapa negeri yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau berkata sehingga tahun 2025, Kerajaan MADANI di Wilayah Persekutuan telah melaksanakan sebanyak 72,864 unit rumah mampu milik melibatkan 101 projek, merangkumi projek yang telah siap, sedang dibina serta mendapat kelulusan pembangunan.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memperkenalkan Residensi MADANI dengan harga sekitar RM200,000 seunit di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, termasuk sasaran membina 8,000 unit di Kuala Lumpur dan lebih 10,000 unit di Putrajaya.
Beliau berkata isu Rumah Panjang Bukit Kiara yang tertangguh selama 44 tahun juga berjaya diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Di Selangor pula, katanya, sehingga 31 Mei 2025, kerajaan negeri telah meluluskan 472 projek melibatkan 256,065 unit Rumah Selangorku.
Daripada jumlah itu, 44,020 unit telah siap dan diserahkan kepada pemilik, manakala 29,458 unit lagi sedang dalam pembinaan.
“Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, Selangor berjaya menawarkan 59,263 unit berbanding sasaran 60,000 unit, bersamaan 98.77 peratus pencapaian,” katanya.
Mengulas prestasi Johor, Faezuddin berkata kerajaan negeri sendiri menetapkan sasaran membina 100,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030, termasuk 30,000 unit bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Bagaimanapun, katanya, sehingga 29 Jun 2026, hanya 21,412 unit berjaya direalisasikan, manakala 8,588 unit lagi dijangka siap menjelang penghujung tahun.
Beliau turut merujuk laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku pertama 2026 yang menunjukkan Johor merekodkan 3,852 unit kediaman siap dibina tetapi tidak terjual.
Menurutnya, bagi kategori pangsapuri khidmat pula, Johor merekodkan 9,972 unit yang masih belum terjual, iaitu jumlah tertinggi di Malaysia.
“Data ini menunjukkan pembangunan hartanah di Johor memang rancak, tetapi sebahagian besar tidak memenuhi kemampuan atau keperluan sebenar rakyat tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, Faezuddin berkata isu utama yang perlu diberi perhatian ialah sejauh mana kerajaan negeri berjaya mengimbangi pembangunan hartanah dengan penyediaan rumah mampu milik, bukannya berdebat mengenai negeri mana mempunyai harga rumah paling tinggi.
Beliau berkata sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat mentadbir Johor, gabungan itu komited menyemak semula dasar perumahan negeri, mempercepat pembinaan rumah mampu milik, memastikan projek dibangunkan di lokasi yang lebih strategik serta menjadikan pemilikan rumah sebagai hak yang benar-benar mampu dicapai rakyat.
“Rumah mampu milik tidak boleh sekadar menjadi sasaran dalam manifesto atau angka di atas kertas. Yang lebih penting ialah memastikan rakyat Johor benar-benar mampu memiliki rumah untuk didiami,” katanya.
BACA JUGA