Parameswara bukan pelarian? Tegas penyelidik IAIS

Dakwaan bahawa pengasas Kesultanan Melayu Melaka, Parameswara, hanyalah seorang “pelarian politik” disifatkan sebagai tafsiran sejarah yang mengelirukan dan tidak mengambil kira realiti geopolitik Alam Melayu pada abad ke-14.

Penyelidik Bersekutu di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Maszsyuhada Maszri berkata penggunaan istilah “refugee” terhadap Parameswara merupakan satu anakronisme kerana konsep pelarian adalah produk sistem negara-bangsa moden yang tidak wujud pada zaman tersebut.

Menurut beliau, perpindahan Parameswara dari Palembang ke Temasik sebelum mengasaskan Melaka bukan tindakan seorang individu tanpa negara yang mencari perlindungan, sebaliknya strategi politik seorang putera berdaulat untuk membina semula kekuasaannya.

“Parameswara bukan seorang pelarian. Beliau ialah seorang putera berdaulat yang sedang melaksanakan strategi politik dan kenegaraan dalam dunia Melayu ketika itu,” katanya dalam satu rencana yang diterbitkan hari ini.

Beliau berkata istilah “pelarian” hanya mempunyai asas undang-undang selepas lahirnya sistem negara moden yang bersempadan tetap serta Konvensyen Pelarian 1951 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Konsep tersebut tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya bagi menjelaskan realiti politik Asia Tenggara pada abad ke-14 yang beroperasi di bawah sistem politik berbeza,” katanya.

Maszsyuhada menjelaskan bahawa kuasa politik di Alam Melayu ketika itu tidak bergantung kepada sempadan negara seperti hari ini, sebaliknya dibentuk melalui jaringan kesetiaan, hubungan perdagangan, pertalian kekeluargaan dan pengaruh pemerintah.

Beliau merujuk konsep Mandala yang digunakan ramai sejarawan bagi menggambarkan sistem politik Asia Tenggara klasik, di mana pengaruh seseorang pemerintah berkembang melalui hubungan politik dan bukannya sempadan wilayah yang tetap.

Menurutnya, tindakan Parameswara meninggalkan Palembang selepas menentang penguasaan Majapahit perlu dilihat sebagai langkah strategik seorang pemerintah, bukannya pelarian yang kehilangan identiti politik.

Katanya lagi, Parameswara merupakan waris langsung kerajaan Srivijaya-Palembang yang pada suatu ketika turut mempunyai pengaruh di Semenanjung Tanah Melayu.

“Beliau bergerak dalam lingkungan politik dan tamadun yang mempunyai hubungan sejarah dengan pemerintahannya sendiri, bukannya memasuki wilayah asing sebagai pencari suaka,” katanya.

Maszsyuhada turut berhujah bahawa keupayaan Parameswara menguasai Temasik selama beberapa tahun, menjalin hubungan diplomatik melalui perkahwinan diraja serta akhirnya membangunkan Melaka membuktikan beliau masih memiliki legitimasi politik dan rangkaian sokongan yang kukuh.

Beliau berkata Parameswara juga tidak bergerak bersendirian, sebaliknya diiringi kumpulan Orang Laut yang menurut beberapa kajian sejarah memainkan peranan penting sebagai sekutu maritim kepada pemerintah Srivijaya.

Memetik kajian sejarawan Leonard Andaya, beliau berkata sokongan Orang Laut menjadi antara faktor utama yang membolehkan Melaka berkembang sebagai pusat perdagangan antarabangsa.

Katanya, penduduk tempatan bukan sekadar menerima kehadiran Parameswara atas dasar kemanusiaan, tetapi mengiktiraf kedudukannya sebagai pemerintah yang sah.

“Beliau membawa bersama institusi pemerintahan, sistem pentadbiran dan rangkaian perdagangan yang kemudiannya membentuk asas kepada kebangkitan Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.

Maszsyuhada mengulas kenyataan aktivis hak asasi manusia, Debbie Stothard, dalam satu siaran langsung yang disiarkan menerusi Facebook Rohingya Nation With Wai Wai Nu pada penghujung Jun lalu.

Dalam rakaman tersebut, Stothard dilaporkan menyifatkan Parameswara sebagai seorang “political refugee twice over” ketika mengulas isu ketegangan sosial dan krisis Rohingya.

Menurut Maszsyuhada, kenyataan sedemikian berisiko menyederhanakan sejarah pembentukan Melaka semata-mata untuk disesuaikan dengan naratif kemanusiaan kontemporari.

Beliau berkata perjuangan mempertahankan hak asasi manusia tidak seharusnya dilakukan dengan mentafsir semula sejarah secara tidak tepat.

“Memperjuangkan hak asasi manusia tidak memerlukan kita menulis semula sejarah negara berdaulat bagi menyokong sesuatu naratif semasa,” katanya.

Perbahasan mengenai kenyataan Debbie Stothard tercetus selepas klip siaran langsung berkenaan tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi.

Sebahagian pihak mempertahankan penggunaan istilah “pelarian politik” dengan alasan Parameswara berpindah beberapa kali selepas konflik dengan Majapahit, manakala sebahagian ahli akademik berpendapat istilah moden seperti “refugee” tidak sesuai digunakan untuk menggambarkan keadaan politik abad ke-14.

Dalam sumber-sumber sejarah seperti Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin serta catatan Portugis termasuk karya Tomé Pires, Parameswara digambarkan sebagai seorang putera dari Palembang yang berhijrah ke Temasik sebelum membuka Melaka sekitar awal abad ke-15.

Walaupun para sejarawan umumnya bersetuju mengenai perjalanan politik Parameswara sebelum penubuhan Melaka, penggunaan istilah moden bagi menggambarkan status beliau terus menjadi bahan perdebatan dalam kalangan pengkaji sejarah dan hubungan antarabangsa.