BMW bukan kereta baharu, JPM jelaskan diguna sementara atas faktor keselamatan PMX
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan sebuah kenderaan rasmi baharu jenis BMW, sebaliknya menjelaskan kenderaan itu hanyalah digunakan secara sementara atas faktor keselamatan.
Dalam kenyataan hari ini, JPM bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) berkata kenderaan berkenaan merupakan aset sedia ada milik BIUPA dan bukannya dibeli khusus untuk kegunaan Perdana Menteri.
Menurut kenyataan itu, kenderaan berkenaan lazimnya digunakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk membawa Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri ketika lawatan rasmi ke Malaysia.
“Ia bukan kenderaan rasmi baharu YAB Perdana Menteri, sebaliknya aset sedia ada milik BIUPA yang disediakan bagi memenuhi keperluan protokol dan keselamatan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
JPM berkata penggunaan sementara kenderaan tersebut dibuat selepas menerima nasihat serta penilaian keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, langkah itu diambil berikutan kenderaan rasmi Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani kerja penyelenggaraan.
“Kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh YAB Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan PDRM,” katanya.
Jelas kenyataan itu, kenderaan berkenaan turut memenuhi spesifikasi keselamatan bertaraf tinggi yang diperlukan bagi kegunaan pemimpin tertinggi negara dan tetamu kenamaan asing.
Antara ciri keselamatannya termasuk keupayaan menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron.
Menurut JPM, penggunaan kenderaan berkenaan adalah selaras dengan keperluan protokol antarabangsa yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pemimpin negara dan tetamu rasmi.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang tular di media sosial berhubung penggunaan sebuah BMW oleh Perdana Menteri sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi bahawa kerajaan memperoleh kenderaan rasmi baharu.
Bagaimanapun, JPM menegaskan dakwaan tersebut tidak tepat kerana kenderaan berkenaan merupakan aset kerajaan yang telah tersedia di bawah BIUPA dan hanya digunakan buat sementara waktu sehingga kenderaan rasmi Perdana Menteri selesai menjalani penyelenggaraan.
BACA JUGA Parameswara bukan pelarian? Tegas penyelidik IAIS