Umno,Pas, Reset sedia benam Bersatu di Johor
OLEH AHMAD MURSI
Bila geng Hamzah (Reset) memilih menyokong BN di Johor, ini bukan sangat soal mahu kalahkan PH.
Yang lebih utama ialah mahu menanam paku terakhir pada keranda parti lama mereka, Bersatu.
Johor ialah tapak politik paling penting kepada Mahiaddin dan Bersatu sejak ditubuhkan, negeri yang pernah dipimpin MB daripada Bersatu.
Begitu juga Pas. Bersatu bukan lagi aset seperti dulu, tetapi ancaman dan pesaing kerana mereka merebut segmen pengundi serta kerusi yang sama.
Maka Reset, Pas dan Umno ada kepentingan untuk menguburkan Bersatu.
Sebab itu kenyataan awal Pas-PN untuk tidak bertanding dalam PRN Johor diubah kemudiannya.
Pas juga melarang ahlinya membantu calon Bersatu walaupun kedua-duanya menggunakan logo PN.
Bersatu hanya bertanding di 16 kerusi. Di situ, pilihan penyokong Bersatu jelas.
Tetapi bagaimana di 40 kerusi lain? Jika mereka mengundi BN atau Umno, mereka sedang menguatkan pesaing yang mahu menyerap akar umbi Bersatu.
Jika mereka mengundi Pas, mereka menguatkan parti yang tidak lagi mahu bersama dan mahu merampas platform PN daripada tangan mereka.
Jika penyokong Bersatu serius mahu memastikan survival parti di Johor, mereka mesti pastikan BN tidak menang mutlak.
Undi penyokong Bersatu di 40 DUN yang tidak bertanding bukan sekadar menentukan siapa menang di Johor. Ia menentukan sama ada Bersatu terus hidup atau dikuburkan bekas kawan dan pesaingnya sendiri.
BACA JUGA Umno-Pas ‘kuburkan’ Bersatu di Johor, PH boleh raih undi protes – Penganalisis