Kerajaan akan teliti dakwaan stesen minyak rugi ketika peralihan subsidi diesel

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk mendapatkan gambaran sebenar dakwaan pengusaha stesen minyak rugi kerana pelaksanaan pembaharuan subsidi diesel.

Pengusaha stesen didakwa menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika peralihan harga bahan api bersubsidi itu.

Anwar berkata, jika wujud ketempangan yang dibangkitkan, kerajaan aman berusaha untuk berunding mencari penyelesaian yang baik

“Merujuk kepada permasalahan yang dibangkitkan, saya akan minta Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) membantu mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat minyak.

“Setakat ini mereka memberi kerjasama penuh kalau tidak, tidak mungkin kita dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Howard Lee (PH-Ipoh Timor) yang membangkitkan dakwaan pengusaha stesen minyak menanggung kerugian.

BUDI Diesel yang bermula 1 Julai lalu membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, berbanding harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai 2026.

BACA JUGA 70 peratus pengundi muda semangat mahu pulang ke kampung mengundi kali pertama