11 Julai penentu suara rakyat, SPR mahu pengundi Johor turun beramai-ramai
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru semua pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang layak untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 11 Julai ini bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, Sabtu ini adalah peluang untuk pengundi sama-sama menyumbang kepada negara dalam sistem demokrasi yang diamalkan selama ini.
“Saya mengharapkan semua pengundi tak mengira lapisan umur untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 11 hari bulan,” katanya.
Ramlan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan meninjau proses pengundian awal di Kem Mahkota Kluang, hari ini.
Dalam masa sama, beliau menjangkakan keputusan penuh bagi semua 56 kerusi yang dipertandingkan dapat diketahui kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai susulan penambahbaikan yang dilakukan terhadap sistem pengurusan keputusan pilihan raya.
“Kita sama-sama berdoa dengan sistem yang ada, yang kita sudah naik taraf, mungkin keputusan penuh boleh diketahui sekitar jam 10 malam
“Kita tidak akan mengeluarkan keputusan awal, sebaliknya terus mengumumkan keputusan penuh,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN pada PRN Johor Ke-16 dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di semua kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula bertanding di 33 kerusi, Parti Bersama Malaysia (Bersama) 15 kerusi, Muda empat kerusi, Parti Orang Asli Malaysia (POA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing satu kerusi serta enam calon Bebas.
Terdapat 14 pertandingan dua penjuru, 27 pertandingan tiga penjuru, 12 pertandingan empat penjuru dan tiga pertandingan lima penjuru.
BACA JUGA 70 peratus pengundi muda semangat mahu pulang ke kampung mengundi kali pertama