Keluar awal mengundi 11 Julai ini, beri mandat kepada calon Harapan

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah supaya keluar mengundi awal pada 11 Julai ini bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lebih selesa.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai Bang Mat berkata, pengundi wajar merancang masa dengan baik bagi mengelakkan kesesakan dan barisan panjang pada hari pengundian.

“Bang Mat nak pesan kepada semua pengundi, 11 Julai nanti jangan lupa keluar mengundi.

“Kalau boleh, keluarlah awal supaya lebih selesa dan tidak perlu beratur panjang,” katanya selepas menghadiri Ceramah Kelompok di DUN Kemelah malam tadi.

Beliau turut mengajak pengundi memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan agenda menjaga kebajikan rakyat, mengukuhkan ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan memacu kemajuan Johor dapat diteruskan.

“Kita nak terus jaga semua rakyat tanpa mengira kaum, kukuhkan ekonomi, tambah peluang pekerjaan dan pastikan Johor terus maju.

“Johor Ke Depan. Undi Harapan,” kata Bang Mat lagi yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Adly dan calon PH DUN Kemelah, Afif Hamid.

Sementara itu, Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari turut turun padang di DUN Kemelah bagi meneruskan kempen bersama masyarakat setempat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau mengiringi calon PH, Afif Abd Hamid, dalam Program Ziarah Kasih untuk bertemu dan menyantuni penduduk, sebelum menunaikan solat Maghrib bersama jemaah di Masjid Al Muhajirin, Bukit Siput.

Adly kemudiannya menghadiri program ceramah di Kampung Bukit Siput dan menekankan kepentingan memelihara semangat perpaduan sebagai asas kekuatan negara.

Kestabilan ekonomi

Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, kestabilan ekonomi juga perlu terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat, selain memastikan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar dapat diseimbangkan.

Ahli Parlimen Alor Gajah dan Adun Bukit Katil itu berkata, usaha itu penting supaya setiap lapisan masyarakat, khususnya penduduk DUN Kemelah, dapat menikmati kemajuan secara adil dan saksama.

“Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, kita akan terus bekerja membawa pembangunan, menjaga kebajikan dan membina masa depan yang lebih baik untuk semua,” kata Adly lagi.

Untuk rekod, calon PH bagi DUN N04 Kemelah, Mohd Afif Abd Hamid, bertanding tiga penjuru dalam PRN Johor pada 11 Julai ini.

Afif, 37, yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Johor berentap dengan K. Raven Kumar (BN-MIC) dan Uzzair Ismail (PN-Bersatu).

Pada PRN 2022, calon BN-MIC, N. Saraswati menang dengan majoriti 1,611 undi dalam pertandingan empat penjuru.

N. Saraswati memperoleh 7,518 undi, diikuti calon PH-AMANAH, Dr Sulaiman Mohd Nor dengan 5,907 undi, Normala Sudirman (PN-Pas) dengan 4,639 undi manakala Norizan Sahardin (Pejuang) hanya 214 undi.

BACA JUGA PRN Johor bukan cerminan PRU16, kerjasama PH-BN masih model ideal negara