PRN Johor penentu BN kembali dominan atau Kerajaan Perpaduan terus jadi pilihan

Oleh LIYANA MARZUKI

Bagi yang mengikuti saya sekian lama, tentu tahu saya memang konsisten menyokong konsep Kerajaan Perpaduan.

Malah, sejak 2020 lagi saya sudah mula mempromosikan idea ini, jauh sebelum Kerajaan Perpaduan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja selepas PRU15.

Sebabnya mudah.

Bagi saya, kestabilan negara lebih mudah dicapai apabila parti-parti politik sanggup berpadu dan berkongsi kuasa.

Apabila kepimpinan negara dianggotai oleh pemimpin daripada pelbagai kaum dan agama, suhu politik perkauman juga akan menurun.

Politik kongsi kuasa. Itulah formula yang menjadi asas pembinaan negara kita sejak merdeka.

Buktinya, sepanjang 3.5 tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir:

🟦 Ekonomi negara semakin mengukuh. Ringgit muncul antara mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.

🟦 Nama Malaysia kembali mendapat perhatian di persada antarabangsa. Kita mengekalkan hubungan baik dengan semua kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia, di samping terus menjadi antara suara penting dunia Islam.

🟦 Bantuan kepada rakyat juga terus dipertingkatkan. STR dan SARA dinaikkan hampir setiap tahun. Malah, harga petrol bersubsidi RON95 turut diturunkan kepada RM1.99. Ketika banyak negara masih bergelut dengan kos tenaga, Malaysia kekal relatif stabil.

Itulah refleksi sebuah kerajaan yang lahir daripada semangat menghormati titah Majlis Raja-Raja.

Dukungan Pas

Ramai yang bertanya kepada saya, apa pandangan saya tentang PRN Johor.

Pada saya, it’s an election for Pakatan Harapan to lose. Banyak faktornya:

1) Dukungan istana kepada parti lawan mereka.

2) Keputusan SPR yang sepatutnya bebas, tetapi dipertikaikan kerana menetapkan tarikh mengundi tengah bulan dan memilih Sabtu bukan Ahad. Menyukarkan pengundi luar kawasan pulang mengundi sekali gus, memberi kelebihan kepada BN nanti.

3) Paling glaring, perpindahan undi dan dukungan terbuka dari parti Pas dan blok Wawasan kepada BN.

Dengan semua kelebihan ini, on the surface, BN di landasan yang lebih selesa untuk menang.

Tambah pula, undi pengundi progresif dan reformis berpecah dua dengan kewujudan parti Bersama.

Tidak berbaloi

Mungkin kerana faktor-faktor inilah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz memilih membubarkan DUN lebih awal daripada jangkaan, bagi memburu kemenangan yang lebih besar.

Formula kemenangan:

✅ Menang bergaya: 45-55 kerusi.
🟡 Menang cukup makan: 29-40 kerusi
❌ Kalah: 28 kerusi ke bawah dan tidak boleh tubuh Kerajaan.

Hatta, kalau mereka menang bawah 40 kerusi, ramai pemerhati politik berpandangan mereka sudah kira kalah kerana kurang kerusi incumbent yang mereka ada sekarang.

Ini menjadikan pembubaran awal itu dah jadi tidak berbaloi pula.

Trauma lama

Makanya, ada penyokong PH tanya, takkan tiada harapan PH menang.

Pada saya, PH hanya boleh menang sekiranya peratus keluar mengundi tinggi dan mereka kekal dapat undi pengundi Cina dan Melayu progresif iaitu vote bank mereka.

Bagi pengundi atas pagar, walau dengan PH pun mereka makin menyampah. Namun, bila anak Datuk Seri Najib bangkitkan kemenangan besar BN dengan pembebasan ayahnya, membangkitkan semula trauma lama yang selama ini terpendam.

Sekarang mereka perlu putuskan: the lesser of 2 evils.

Kalau PH yang mereka rasa kurang mudarat, maka peluang menang itu ada.

Tapi seperti saya katakan awal tadi. It’s an election for PH to lose.

Makanya, penyokong PH doakan dan terus berusaha. Ingat sahaja. Mereka merancang, tetapi Allah jua sebaik-baik Perancang.

Ujian pertama

Pada saya, PRN Johor ini jauh lebih besar daripada sekadar memilih kerajaan negeri.

Inilah ujian pertama untuk melihat sama ada parti keramat benar-benar mampu kembali mendominasi politik negara.

Johor hanyalah permulaan Selepas ini Negeri Sembilan kemudian Melaka.

Dan akhirnya menuju PRU16.

Sebab itu saya melihat Johor sebagai testing ground untuk membaca sama ada BN benar-benar berada di landasan untuk kembali memerintah Malaysia secara dominan.

Wish saya mudah dan sama seperti dahulu.

Kalau boleh jangan ada parti yang menang mutlak sendirian. Biar politikus belajar bekerjasama terutama DAP dan Umno.

Di peringkat Persekutuan elok sahaja. Kalau ada sedikit perang naratif politik, itu perkara biasa. Nama pun politikus. Mereka selalunya paling Hollywood.

Tetapi dari sudut pentadbiran, negara jauh lebih harmoni berbanding penggal lalu yang menyaksikan kerusi Perdana Menteri bertukar tangan sebanyak tiga kali.

Formula terbaik

Jadi pada Sabtu ini, rakyat Johor akan menjadi trailblazer.

Mereka akan menjadi penanda aras kepada seluruh negara.

Sama ada rakyat benar-benar bersedia memberikan mandat dominan semula kepada BN.

Atau mereka masih percaya model Kerajaan Perpaduan adalah formula terbaik untuk negara.

Apa pun keputusannya, saya hanya berharap satu perkara.

Semoga rakyat Johor keluar mengundi bukan kerana taksub kepada parti atau personaliti tetapi kerana mereka percaya itulah pilihan yang terbaik untuk negeri dan negara.

Akhirnya, yang menang bukan sekadar parti. Yang menerima kesannya ialah seluruh negara.

BACA JUGA Rizab Malaysia cecah AS$132.6 bilion! Apa sebenarnya yang sedang berlaku pada ekonomi negara?