Onn Abu Bakar tinjau program Jualan Rahmah, seru pengundi Senggarang keluar mengundi

FOTO BERITA: Program Jualan Rahmah bersama calon Harapan N.24 Senggarang Onn Abu Bakar di Dewan Terbuka Sungai Lurus, Senggarang, Batu Pahat, Johor. 8hb Julai 2026 (Rabu)

Calon Pakatan Harapan bagi DUN N.24 Senggarang, Onn Abu Bakar, hari ini menghadiri Program Jualan Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Terbuka Sungai Lurus, Senggarang.

Onn merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan KPDN kerana terus menganjurkan Program Jualan Rahmah yang menurutnya memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya golongan B40.

Beliau berkata, program tersebut menawarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, beras, mi segera, kicap, biskut dan barangan asas lain pada harga diskaun sehingga 30 peratus, sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup penduduk kampung.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan KPDN kerana terus melaksanakan Program Jualan Rahmah. Program ini amat membantu rakyat, terutama golongan B40 di kawasan kampung,” katanya.

Mengulas mengenai kempen menjelang hari pengundian pada 11 Julai ini, Onn berkata beliau kini memberi tumpuan kepada kempen dari rumah ke rumah bagi menyantuni pengundi yang masih belum ditemui.

Menurut beliau, sebelum ini kempen lebih tertumpu kepada ceramah, namun pada hari-hari terakhir ini pasukan kempen bergerak terus ke kediaman penduduk termasuk di kawasan PDM Minyak Beku bagi bertemu masyarakat pelbagai kaum.

Onn turut menjelaskan bahawa sepanjang lebih tiga tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat, beliau telah melaksanakan pelbagai usaha membantu masyarakat di tiga kawasan DUN di bawah Parlimen tersebut, termasuk menyalurkan bantuan kepada masjid, surau, sekolah, balai raya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Senggarang, usaha menaik taraf kemudahan awam seperti lampu solar, longkang dan infrastruktur asas lain akan terus diperkasakan berdasarkan aduan yang diterima daripada penduduk.

Dalam pada itu, Onn turut menyeru pengundi yang bekerja di luar negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan supaya pulang mengundi pada Sabtu ini.

Beliau berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri kali ini dapat meningkat berbanding sekitar 58 peratus pada pilihan raya sebelum ini, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka.

“Saya menyeru semua pengundi yang berada di luar supaya pulang bertemu keluarga dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai ini,” katanya.