Kempen Dr Maszlee kini masuk mood ‘slayyy’ Gen Z
Kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik mencuri perhatian apabila laman Facebook beliau hari ini tampil dengan gaya santai menggunakan bahasa dan budaya media sosial Gen Z.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook bekas Menteri Pendidikan itu, sekumpulan anak muda yang dipercayai petugas kempen PH tampil dalam satu grafik bertulis “Invasi Admin Gen Z Ambil Alih”.
Hantaran itu turut disertakan kapsyen: “Not us casually hijacking the admin page today. Sorry not sorry boss, Gen Z in charge now. Slayyyy.”
Untuk rekod, ungkapan seperti “casually hijacking the admin page”, “sorry not sorry boss”, “Gen Z in charge now”, “slayyyy” dan emoji 💀✨ memang dekat dengan budaya TikTok, X dan Instagram.
Istilah “slayyy” yang digunakan dalam kapsyen itu merujuk kepada gaya yakin, menyerlah, berani dan berjaya menarik perhatian.
Gen Z pula yang merujuk kepada mereka yang lahir sekitar 1997 hingga 2012.
Riang berlari
Dalam satu hantaran lain pula, video ringkas menampilkan dua gadis sedang riang berlari dan meminta bantuan seorang wanita menangkap gambar mereka berdua.
“Minta tolong ambil gambar ❌
Free promote calon N41 ✅
Slayyy. Nombor 3 for the win!
“Akak boleh tolong ambilkan gambar?” demikian kapsyen dalam video berdurasi 15 saat itu.
Namun, sejurus wanita itu cuba menekan butang kamera pada telefon yang diberi, terpampang poster Dr Maszlee sebagai calon N41 Puteri Wangsa.
Pasukan kempen Dr Maszlee dilihat kreatif dalam mendekati pengundi muda, khususnya Gen Z yang lebih dekat dengan gaya komunikasi santai, lucu, ringkas dan mudah dikongsi di media sosial.
PRN Johor ke-16 menyaksikan pengundi Gen Z iaitu bawah 30 tahun berjumlah 710,043 orang iaitu kira-kira 26 peratus daripada 2,727,926 pengundi berdaftar.
Berdasarkan statistik SPR setakat 31 Mei lalu, terdapat 165,386 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun manakala 544,657 pengundi berumur 21 hingga 29 tahun.
BACA JUGA Anak Johor diseru pulang mengundi, setiap undi penentu masa depan negeri