Lebih 96,000 pelajar Tingkatan 6 terima BAP RM150 seorang

Seramai 96,013 murid Tingkatan 6 di seluruh negara akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi tahun 2026 membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM14.4 juta pada tahun ini.

Ia sekali gus meneruskan komitmen kerajaan memperluaskan bantuan kewangan kepada pelajar prauniversiti.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah itu merangkumi murid Tingkatan 6 sedia ada serta 52,810 murid baharu yang mendaftar pada 8 Jun lalu.

Menurut KPM, pelajar Tingkatan 6 baharu akan menerima bantuan sebanyak RM150 seorang dengan agihan dilaksanakan mulai 28 Jun hingga 27 Julai ini menerusi 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) di seluruh negara.

“KPM meneruskan pelaksanaan agihan BAP kepada murid Tingkatan 6 baharu yang telah mendaftar pada 8 Jun 2026, selaras dengan kelulusan peluasan pemberian BAP kepada murid Tingkatan 6 pada tahun 2025,” kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, peluasan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga bagi membuat persediaan keperluan persekolahan.

Katanya, inisiatif itu turut membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam.