Nor Zulaila tampil tiga tawaran utama bangunkan Tiram

FOTO BERITA: Walkabout bersama calon Harapan N.40 Tiram Nor Zulaila Abd Ghani di Pasar Pagi Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor. 9hb Julai 2026 (Khamis)

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani, meneruskan siri kempennya menerusi program walkabout di Pasar Pagi Sungai Tiram di sini hari ini bagi menyantuni peniaga serta orang ramai.

Nor Zulaila berkata, tempoh hampir dua minggu berkempen dimanfaatkan sepenuhnya untuk turun padang bertemu pengundi di seluruh kawasan DUN Tiram yang disifatkannya sebagai kawasan yang luas dengan jumlah pengundi yang ramai.

Menurut beliau, antara persoalan yang sering dibangkitkan pengundi ialah tawaran dan manifesto yang dibawa bagi membangunkan kawasan Tiram.

“Melalui tawaran untuk Tiram, saya mengetengahkan tiga fokus utama iaitu Tiram Lestari, Tiram Prihatin dan Tiram Makmur.

“Tiram Prihatin memberi penekanan kepada kebajikan wanita, belia dan warga emas, manakala Tiram Makmur pula memfokuskan kepada pembangunan yang seimbang serta memberi manfaat kepada semua pihak, bukan hanya kepada satu pihak sahaja,” katanya kepada media selepas program tersebut.

Beliau berkata, pembangunan perlu diteruskan, namun pelaksanaannya hendaklah dirancang secara mampan supaya kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, Nor Zulaila turut menyeru semua pengundi, khususnya anak Johor yang berada di luar kawasan termasuk di Singapura, supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai.

Katanya, usaha menggalakkan pengundi pulang telah dipergiatkan, termasuk kempen di Tambak Johor bersama beberapa calon Pakatan Harapan bagi mengedarkan bahan kempen dan menyeru rakyat Johor yang bekerja di Singapura agar kembali mengundi.

Beliau berkata, satu sidang media berkaitan usaha menggalakkan pengundi pulang akan diadakan dalam masa terdekat.
