Onn Hafiz terperangkap isu Najib, agenda ‘bebaskan Bossku’ makan diri di Johor
Tindakan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat naratif kerinduan terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai langkah politik yang akhirnya memakan diri sendiri.
Penganalisis politik, Norman Radzuan berkata, isu Najib kini menjadi antara topik hangat dalam kalangan rakyat Johor, khususnya selepas timbul persepsi bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor cuba dijadikan medan untuk menghidupkan semula agenda membebaskan bekas Perdana Menteri itu.
Menurutnya, kenyataan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap berkenaan sebelum ini yang mendakwa rakyat Johor merindui Najib dilihat tidak sensitif terhadap sejarah politik negeri itu.
Ini memandangkan rakyat Johor pernah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018 ketika kemarahan terhadap skandal 1MDB berada di kemuncak.
Katanya, tindakan Onn Hafiz itu membuka semula luka lama berkaitan 1MDB yang pernah memalukan negara di peringkat antarabangsa, sekali gus menimbulkan reaksi luar biasa daripada pengundi Johor.
“Mula-mula tidak mahu duduk semeja dengan DAP yang majoriti kaum Cina di Johor pilih, hingga bangsa Cina merasakan Onn anti kepada bangsa mereka.
“Lepas itu sesuka hati beritahu rakyat Johor rindukan bapa saudaranya, Najib Razak.
“Sedangkan pada 2018, rakyat Johor jatuhkan kerajaan BN di Johor kerana kes 1MDB Najib yang memalukan negara ke seluruh dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Keterlanjuran Onn
Norman berpendapat keterlanjuran Onn dan anak Najib dalam memainkan isu berkenaan turut membuka persoalan mengapa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.
Jelasnya, apabila naratif Najib menerima reaksi negatif, Onn yang juga cucu kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn cuba mengalih perhatian dengan menyerang Kerajaan Persekutuan.
Namun katanya, serangan itu juga memakan diri kerana Kerajaan Persekutuan turut dianggotai lapan menteri daripada BN sendiri, termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Adakah Onn nak beritahu Zahid, Joe Ghani, Mat Hassan, Azalina semua itu gagal?” tempelaknya.
Usaha menyerang Kerajaan Persekutuan juga, tegasnya, tidak selari dengan pelbagai petunjuk ekonomi negara yang menurutnya semakin baik dan mendapat perhatian penganalisis antarabangsa.
Beliau berkata, data ekonomi menunjukkan Malaysia berada pada landasan pemulihan, manakala sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dapat dilihat melalui pelbagai tinjauan dan kandungan organik di media sosial.
Katanya, pengundi Johor tidak mudah diperbodohkan dengan percubaan mengheret hampir lima juta rakyat negeri itu ke dalam agenda politik berkaitan pembebasan Najib.
“Sebab itu Onn jangan spin sana sini. Bangsa Johor bukan mudah diperbodohkan.
“Mereka sangat terkejut Najib mahu dibebaskan jika BN menang besar di Johor,” katanya.
Norman turut mendakwa kemarahan pengundi terhadap isu berkenaan dapat dilihat melalui penyebaran pelbagai bahan grafik di media sosial dan kumpulan WhatsApp yang menyindir kemungkinan kembalinya Najib serta Datin Seri Rosmah Mansor dalam politik negara.
Tambahnya, isu Najib bukan lagi sekadar nostalgia dalam kalangan penyokong BN, sebaliknya sudah bertukar menjadi beban politik kepada Onn dan kempen BN di Johor.
BACA JUGA Jangan biar orang lain tentukan masa depan Machap, Hafiz rayu pengundi luar pulang