Kerajaan nafi Jho Low ke Malaysia untuk rundingan 1MDB 

Kerajaan menafikan dakwaan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low pernah memasuki Malaysia pada tahun lalu bagi mengadakan rundingan rahsia berhubung penyelesaian hutang syarikat pelaburan strategik negara, 1MDB, sekali gus menolak spekulasi yang timbul susulan laporan sebuah portal luar negara.

Penafian itu dibuat Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis selepas pertanyaan dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar). Menjawab secara ringkas, Liew berkata kerajaan menafikan dakwaan berkenaan.

Syed Saddiq sebelum itu meminta penjelasan sama ada Kementerian Kewangan mengetahui mengenai dakwaan rundingan tersebut memandangkan isu 1MDB melibatkan pengurusan kewangan kerajaan. Beliau turut mempersoalkan status Jho Low yang masih menjadi buruan pihak berkuasa serta sama ada individu itu pernah memasuki negara ini.

Dakwaan tersebut timbul selepas Sarawak Report menerbitkan laporan yang mendakwa Jho Low memainkan peranan dalam “rundingan rahsia” antara Malaysia dan China pada penghujung tahun lalu bagi menyelesaikan isu berkaitan hutang 1MDB. Portal itu, yang disekat di Malaysia, mendakwa mesyuarat berkenaan berlangsung di Kuala Lumpur dengan Jho Low berada di bawah perlindungan delegasi China.

Laporan sama turut mendakwa rundingan itu menyentuh peranan Beijing dalam isu 1MDB serta dakwaan bahawa China membantu usaha menutup skandal tersebut ketika pentadbiran terdahulu. Susulan laporan berkenaan, Polis Diraja Malaysia pada 16 Mei lalu memaklumkan akan menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

Dalam jawapan berasingan kepada soalan asal Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai usaha mendapatkan semula dana yang diselewengkan daripada 1MDB, Liew berkata kerajaan meneruskan tindakan undang-undang melalui prosiding jenayah dan sivil terhadap individu yang dikaitkan dengan skandal itu, termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Rosmah Mansor dan Jho Low.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi pada 25 Disember 2025 menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion terhadap Najib selepas didapati bersalah atas 25 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan melibatkan dana 1MDB.

Sementara itu, kerajaan turut memfailkan saman sivil terhadap Rosmah bagi mendapatkan semula kira-kira AS$380 juta (RM1.56 bilion) yang didakwa digunakan untuk pembelian barangan mewah, selain tuntutan sivil bernilai AS$3.78 bilion (RM15.4 bilion) terhadap Jho Low.

Liew berkata skandal 1MDB telah mengakibatkan empat bentuk kerugian utama kepada negara, iaitu kerugian kewangan secara langsung, kehilangan peluang ekonomi, kerugian yang sukar dipulihkan serta kemerosotan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa. Menurutnya, sehingga 30 Jun lalu kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang, faedah, kos guaman, kos operasi dan komitmen lain berkaitan 1MDB.

Beliau menambah kerajaan masih menanggung obligasi Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk IMTN) bernilai RM8.9 bilion yang akan matang pada 2039. Secara keseluruhan, tanggungan berkaitan 1MDB mencecah RM51.4 bilion, manakala kerajaan setakat ini berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion.

Baki obligasi sebanyak RM20.1 bilion, katanya, masih perlu ditanggung kerajaan sekiranya tiada lagi pemulangan aset atau dana pada masa hadapan.

BACA JUGA Onn Hafiz terperangkap isu Najib, agenda ‘bebaskan Bossku’ makan diri di Johor