SPRM buka siasatan rumah mewah RM59 juta, ada jejak dana 1MDB?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung pemilikan serta pemindahan sebuah hartanah mewah di luar negara bernilai kira-kira AS$13 juta (RM59 juta) yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti haram dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, siasatan dimulakan selepas suruhanjaya itu menerima aduan pada 15 Jun lalu, sebelum kertas siasatan dibuka sehari kemudian bagi meneliti dakwaan berkenaan.

Menurutnya, siasatan memberi tumpuan kepada kemungkinan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pemilikan serta urus niaga hartanah mewah itu.

Beliau berkata, SPRM kini bekerjasama dengan beberapa agensi penguat kuasa dalam dan luar negara, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), bagi mendapatkan maklumat dan melengkapkan siasatan.

“Kerjasama rentas sempadan ini penting bagi mengesan sumber dana serta transaksi yang mungkin melibatkan pelbagai bidang kuasa,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Abdul Halim berkata, antara fokus utama siasatan ialah mengenal pasti sumber kewangan yang digunakan untuk pembelian hartanah berkenaan, selain menyiasat kemungkinan berlaku kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Menurut beliau, SPRM turut menjalankan analisis forensik kewangan bagi mengesan aliran transaksi dan penerimaan dana. Jika siasatan mengesahkan wang yang digunakan mempunyai kaitan dengan dana 1MDB, tindakan mendapatkan semula aset akan dilaksanakan mengikut peruntukan AMLA.

Beliau berkata, siasatan masih berada pada peringkat awal dan perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas proses pengumpulan bukti serta kerjasama dengan pihak berkuasa asing selesai.

Abdul Halim turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan pemilikan, pembelian atau pemindahan aset berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan sekiranya diperlukan.

BACA JUGA RENCANA | PRN Johor: Mengapa penyokong Bersatu wajar undi PH tolak BN