Pas kata ya, Onn Hafiz kata tidak : AMANAH dakwa Umno u-turn
Kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa Pas tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai percubaan meraih sokongan pengundi pada saat akhir.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, kenyataan itu bercanggah dengan pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini secara terbuka menyatakan kesediaan parti itu menyokong BN bagi membentuk kerajaan negeri sekiranya diperlukan.
Menurutnya, adalah sukar untuk mempercayai kenyataan Abdul Hadi dibuat tanpa sebarang rundingan atau persefahaman terlebih dahulu antara kepimpinan Pas dan Umno.
“Malah pimpinan tertinggi Umno sendiri sebelum ini menyambut baik keputusan Pas yang mahu menyokong BN dalam PRN Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faiz mendakwa percanggahan kenyataan antara pemimpin Umno dan Pas menunjukkan wujud ketidakkonsistenan dalam pendirian kedua-dua parti, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bentuk kerjasama yang bakal diwujudkan selepas pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi Johor menolak apa yang disifatkannya sebagai politik “carca marba” yang dibawa oleh Umno dan BN.
Katanya, rakyat sebaliknya perlu memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kerajaan negeri yang lebih stabil dan mempunyai hala tuju yang jelas.
Menurut Faiz, kenyataan yang saling bercanggah antara pemimpin Umno dan Pas menunjukkan pakatan tersebut tidak mempunyai pendirian yang kukuh, sekali gus berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran dan pengurusan ekonomi negeri jika membentuk kerajaan.
Beliau berkata pengundi Johor perlu mengutamakan kepentingan negeri dengan memilih kerajaan yang mempunyai dasar dan pendirian yang konsisten, sambil menyeru rakyat memberikan sokongan kepada PH pada hari pengundian.
BACA JUGA Onn Hafiz terperangkap isu Najib, agenda ‘bebaskan Bossku’ makan diri di Johor