Trend sokongan meningkat, PH boleh rampas kerusi BN jika 65% pengundi Cina keluar mengundi – kajian
Beberapa kerusi marginal milik Barisan Nasional (BN) berpotensi untuk jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) sekiranya peratusan keluar mengundi dalam kalangan Cina mencecah 65 peratus, kata sebuah badan pemikir.
Menurut Pusat Penyelidikan Masyarakat Cina Malaysia (CMCS), meskipun PH memulakan kempen PRN Johor dengan agak perlahan, sokongan terhadap gabungan itu menunjukkan trend peningkatan yang konsisten selepas memasuki minggu kedua berkempen.
Badan pemikir itu berkata , PH perlu memberi tumpuan kepada usaha membawa pulang pengundi yang berada di luar kawasan, selain memenangi hati pengundi Melayu atas pagar, khususnya mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor 2022.
“Jika momentum kempen PH terus meningkat pada fasa akhir dan berjaya meningkatkan peratusan keluar mengundi pengundi Cina kepada 65%, ia akan mengukuhkan kedudukan gabungan itu di semua kerusi marginal,” kata kumpulan itu menurut FMT.
PN berdepan perpecahan dalaman selepas Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu bulan lalu. Kedua-dua parti itu bertanding di bawah lambang yang sama dalam PRN Johor, namun tidak berkempen antara satu sama lain.
Terdapat tiga kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi pada PRN 2022, iaitu Bukit Pasir (majoriti 198 undi), Parit Yaani (294 undi) dan Serom (699 undi). Politics
PRN Johor 2022 mencatatkan peratusan keluar mengundi 54.92%, dengan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga di DUN.
Bagaimanapun, PRU15 yang berlangsung lapan bulan selepas itu, peratusan keluar mengundi meningkat kepada 74.13%, dengan menyaksikan PH menang 13 kerusi Parlimen di Johor berbanding sembilan kerusi dimenangi BN.
CMCS berkata peratusan keluar mengundi pengundi Cina pada PRN 2022 adalah lebih rendah, iaitu sekitar 45%, sebahagian besarnya disebabkan pandemik Covid-19 apabila ramai pengundi luar tidak pulang mengundi, manakala pengundi tempatan pula bimbang dijangkiti virus itu.
Badan itu mengunjurkan peratusan keluar mengundi pengundi Cina pada PRN kali ini berada antara 55% hingga 60%. Walaupun jauh lebih tinggi berbanding 45% pada PRN 2022, angka itu masih lebih rendah daripada kadar yang dicatatkan pada PRU15.