Pengundi India diseru sokong PH, jangan terpedaya dengan MIC
ADUN Batu Uban, A. Kumaresan menyeru pengundi India di Johor supaya menilai calon berdasarkan rekod prestasi, kestabilan politik dan kemampuan sesebuah gabungan untuk mentadbir negeri.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, sejak kempen bermula, MIC dilihat lebih menumpukan serangan terhadap Pakatan Harapan berbanding menjelaskan tawaran baharu yang mampu mereka berikan kepada masyarakat India.
Menurut beliau, MIC hari ini tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk mendakwa mereka merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan masyarakat India.
Ia terbukti melalui sikap parti tersebut yang tidak konsisten setelah mengumumkan hasrat untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), sebelum membuat pusingan U dan kembali menyokong BN.
“Ini jelas menunjukkan bahawa percaturan politik mereka lebih mengutamakan kelangsungan parti daripada kepentingan masyarakat India.
“Lebih mengecewakan, MIC sanggup mempertimbangkan kerjasama dengan Perikatan Nasional semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan kedudukan mereka dalam Barisan Nasional.
“Ini membuktikan bahawa soal prinsip dan mandat rakyat boleh diketepikan demi kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Kumaresan justeru menyeru kaum India untuk membuat keputusan tepat, menilai berdasarkan rekod prestasi dengan mengingatkan bahawa masa depan masyarakat India tidak boleh ditentukan oleh parti yang sering mengubah pendirian mengikut kepentingan politik semasa.
“Pada 11 Julai nanti, marilah kita bersama-sama memberikan mandat kepada Pakatan Harapan demi sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan benar-benar bekerja untuk seluruh rakyat Johor,” katanya.