Rumah mampu milik jangan jadi hab politik, PH imbas pemansuhan kuota BN

Agihan rumah mampu milik tidak sepatutnya dijadikan instrumen politik sehingga menafikan hak golongan yang benar-benar layak, kata calon Pakatan Harapan (PH) DUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad.

Beliau yang juga mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor berkata, antara pembaharuan yang dilaksanakan ketika PH mentadbir Johor ialah memansuhkan sistem Kuota Menegak Kerajaan (KMK) yang sebelum ini memperuntukkan 30 peratus unit Rumah Mampu Milik Johor (RMJ) kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sistem tersebut menyebabkan agihan rumah bersubsidi tidak semestinya diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan kerana ia dibuat mengikut kuota politik, bukannya berdasarkan kelayakan pemohon.

“Kita mahu mewujudkan perumahan yang mencukupi, khususnya kepada golongan muda. Antara kekangan ketika itu ialah sistem KMK yang memperuntukkan 30 peratus rumah mampu milik kepada parti-parti komponen Barisan Nasional seperti Umno, MCA dan MIC.

“Rumah RMJ ialah produk subsidi kerajaan. Apa yang kita tidak mahu lihat ialah rumah itu tidak sampai kepada kumpulan sasaran kerana diagihkan mengikut parti, bukannya mengikut kelayakan,” katanya dalam satu program podcast Arus Mytv sempena kempen PRN Johor yang dihoskan Pengarah komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Dzulkefly berkata, pemansuhan sistem berkenaan dilakukan sebaik sahaja PH mengambil alih pentadbiran negeri kerana ia memberi imej yang tidak baik terhadap tadbir urus kerajaan.

Beliau berkata, langkah itu terbukti tepat apabila kerajaan negeri selepas itu masih mengekalkan pemansuhan kuota tersebut sehingga hari ini.

“Kita sangat teruja untuk memansuhkan kuota itu kerana ia memberi imej yang tidak baik kepada reputasi pentadbiran negeri.

“Alhamdulillah, keputusan itu betul kerana sehingga hari ini kerajaan negeri masih mengekalkan pemansuhan kuota KMK,” katanya.

Menurut beliau, bantuan dan subsidi kerajaan sepatutnya disalurkan secara telus kepada rakyat yang layak tanpa dipengaruhi kepentingan politik mana-mana parti.

Katanya, pendekatan sedemikian bukan sahaja menjamin keadilan sosial, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem penyampaian kerajaan.

BACA JUGA Anwar seru rakyat Johor pertahan perpaduan, tolak politik perkauman dan rasuah