Pas: Pemimpin Umno Johor jangan angkuh!

Pas Johor menegur sikap beberapa pemimpin Umno yang disifatkan angkuh apabila menolak kesediaan parti itu membantu Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri sekiranya gagal memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjaya Pas Johor, Mahfodz Mohamed berkata, tawaran kerjasama yang disuarakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak seharusnya disalah tafsir sebagai usaha mendapatkan jawatan atau habuan politik.

Menurutnya, pendirian Pas dibuat atas pertimbangan untuk memastikan kestabilan pentadbiran negeri serta kesinambungan kepimpinan Melayu-Islam di Johor.

“Kesediaan Pas untuk bekerjasama jangan disalahertikan sebagai kelemahan.

“Pas tidak meminta-minta untuk berada dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hadi dilaporkan berkata Pas bersedia membantu BN dengan menyumbang kerusi yang dimenangi parti itu sekiranya gabungan berkenaan gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas PRN Johor, Sabtu ini.

Beliau turut dilaporkan berkata Pas tidak akan menuntut jawatan exco dan tidak membantah sekiranya Umno terus menerajui kerajaan negeri dengan jawatan menteri besar.

Bagaimanapun, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan menolak kemungkinan Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sekiranya BN diberi mandat membentuk pentadbiran baharu.

Onn Hafiz turut menafikan dakwaan bahawa BN memperuntukkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan kepada Pas sebagai balasan kerana parti itu hanya bertanding di beberapa kerusi pada PRN kali ini.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata arahan kepada penyokong Pas supaya membantu calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Pas atau Perikatan Nasional (PN) dibuat berdasarkan pertimbangan yang lebih besar.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan kepimpinan Melayu-Islam terus menerajui Johor secara adil dan bertanggungjawab kepada seluruh rakyat.

“Keputusan itu dibuat demi kepentingan negeri, bukannya untuk mengejar kedudukan dalam kerajaan,” katanya.

BACA JUGA RENCANA | Johor penentu hidup mati Bersatu dan maruah seorang Muhyiddin