KEPUTUSAN TIDAK RASMI | AMANAH pertahan Simpang Jeram, Maszlee hadiahkan PKR kemenangan di Puteri Wangsa

Parti AMANAH berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, manakala PKR meraih kemenangan pertamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi DUN Puteri Wangsa.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, calon AMANAH yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan(PH), Nazri Abd Rahman, memenangi pertandingan empat penjuru di Simpang Jeram dengan majoriti tipis 180 undi, sekali gus memastikan kerusi itu kekal milik parti berkenaan.

Nazri memperoleh 11,830 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Azman Ismail (11,650 undi), calon Perikatan Nasional (PN-Pas), Arshed Yahya (3,789 undi) dan calon MUDA, Ainie Haziqah Shafii (1,573 undi).

Bagaimanapun, kemenangan itu hadir dengan majoriti yang jauh lebih kecil berbanding PRN Johor 2022 apabila Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub memenangi kerusi sama dengan majoriti 2,399 undi.

Sementara itu, PKR membuka akaun kemenangan menerusi DUN Puteri Wangsa, kerusi yang sebelum ini disandang MUDA.

Calon PKR, Dr Maszlee Malik, memperoleh 32,876 undi untuk menewaskan calon BN, Teow Chia Ling, yang meraih 28,463 undi.

Setakat keputusan tidak rasmi yang diterima, Pakatan Harapan (PH) telah memenangi tujuh kerusi, dengan keputusan bagi beberapa lagi kawasan masih dalam proses pengiraan undi.