Anwar tidak merajuk bertanya ‘apa lagi Bangsa Johor mahu?’
Sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi dengan terbuka membuktikan kematangan politik apabila beliau tidak menyalahkan pengundi atau mengugut untuk menyekat pembangunan negeri berkenaan.
Aktivis politik, Jason Yew berkata, reaksi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu amat berbeza berbanding budaya politik lama yang sering menyaksikan pemimpin merajuk, mempertikaikan keputusan rakyat atau menyalahkan sistem selepas mengalami kekalahan.
Menurutnya, walaupun PH mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan, Anwar tetap mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan mengingatkan bahawa persaingan politik telah berakhir.
“Tiada riak dendam. Tiada ayat menyindir. Yang ada hanyalah ucapan tahniah yang tulus buat BN dan pesanan yang sangat jelas: pesta demokrasi sudah tamat, sekarang masa untuk bekerja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Anwar menerusi media sosial rasmi beliau mengucapkan tahniah kepada BN atas mandat yang diberikan rakyat Johor kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Anwar berharap amanah yang diberikan rakyat itu dipikul dengan sebaik-baiknya oleh BN demi kepentingan negeri dan rakyat.
Pada masa sama, Anwar mahu semua calon PH, tidak kira menang atau kalah untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat.

Mengulas lanjut, Jason berkata, sebagai Perdana Menteri yang memiliki kuasa eksekutif, Anwar sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan untuk bertindak balas terhadap keputusan tersebut.
Namun, katanya, Presiden PKR itu memilih pendekatan berjiwa besar dengan menghormati mandat yang diberikan rakyat Johor.
Beliau turut menarik perhatian terhadap arahan Anwar supaya semua calon PH, sama ada menang atau kalah, terus berada di lapangan dan membawa suara rakyat.
Menurut Jason, arahan itu menunjukkan bahawa calon PH tidak dibenarkan menghilang selepas pilihan raya hanya kerana gagal memperoleh kemenangan.
“Bagi Kerajaan MADANI, nasib rakyat sentiasa mendahului ego politik. Beliau tidak benarkan calonnya ‘hilang’ selepas tewas,” katanya.
Tanpa diskriminasi
Jason menambah, jaminan Kerajaan Persekutuan untuk terus memperkasa pembangunan dan kesejahteraan Johor tanpa diskriminasi juga membawa mesej penting bahawa negeri itu tidak akan dihukum kerana membuat pilihan berbeza.
Jelasnya, pendekatan tersebut mencerminkan politik matang yang menghormati keputusan rakyat, bukannya menjadikan peruntukan dan pembangunan sebagai alat untuk membalas dendam politik.
“Negeri tidak akan dipinggirkan walaupun Pakatan Harapan tidak memenangi mandat tersebut. Inilah politik matang yang rakyat sudah lama dahagakan.
“Politik yang menghormati pilihan rakyat, bukan menghukum mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpendapat keikhlasan dan kewibawaan seseorang pemimpin bukan hanya dinilai ketika mencatat kemenangan besar, tetapi juga ketika berdepan keputusan yang tidak menyebelahinya.
“Johor sudah membuat pilihan dan Pakatan Harapan memilih untuk menghormati, menerima keputusan itu dan terus berbakti.
“Jika ini bukan kepimpinan berjiwa besar yang kita mahukan untuk memacu Malaysia ke depan, saya tidak tahu apa lagi,” kata Jason lagi.
Semalam, PRN Johor kali ke-16 menyaksikan PH memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkurangan daripada 12 kerusi yang dimenanginya pada 2022.
Daripada lapan kerusi yang dimenangi PH, DAP menguasai enam kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing meraih satu kerusi.
Sementara itu, BN memperoleh 48 kerusi DUN, meningkat berbanding 40 kerusi pada PRN 2022 dengan Umno menyumbang 36 kerusi manakala MCA dan MIC masing-masing lapan dan empat kerusi.
BACA JUGA Selepas PN dapat ‘telur’, Puad gelar parti Hadi ‘the loser’