Hassan yakin PRU16 undi Cina kembali kepada PH
Pakatan Harapan (PH) berpeluang meraih semula sokongan pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun kerajaan perlu segera menangani beberapa isu ekonomi yang membelenggu golongan peniaga jika mahu mengukuhkan kembali keyakinan kumpulan itu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian ialah pelaksanaan sistem e-Invoice, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi diesel yang menurutnya banyak memberi kesan kepada komuniti perniagaan, khususnya masyarakat Cina di kawasan bandar.
Menurut beliau, berdasarkan pemerhatiannya, sebahagian besar pengundi Cina di Johor ketika ini mungkin masih memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) di peringkat kerajaan negeri, namun corak sokongan itu tidak semestinya kekal menjelang PRU16.
“PH khususnya jangan ambil mudah isu-isu yang diambil berat oleh masyarakat Tionghua, terutama mereka yang tinggal di bandar dan menjadi penyokong penting PH dalam kalangan peniaga.
“Mereka mempunyai beberapa kemusykilan, contohnya pelaksanaan sistem e-Invoice yang menjadi keluhan dalam kalangan peniaga,” katanya dalam satu siaran video.
Hassan berkata, walaupun pelaksanaan e-Invoice dilihat penting daripada sudut kerajaan untuk memperkukuhkan kutipan hasil negara, dasar itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga yang bimbang terhadap peningkatan kos operasi dan kesannya kepada peluang pekerjaan.
“Mungkin isu ini tidak begitu dirasai oleh masyarakat Melayu, namun ia memberi kesan kepada masyarakat Cina yang ramai terlibat dalam sektor perniagaan.
“Bagi perspektif kerajaan, ini penting untuk cari hasil negara, tetapi kepada masyarakat peniaga, ia dilihat boleh menjejaskan peluang pekerjaan. Jadi perkara itu ada kesannya,” katanya.
Selain e-Invoice, Hassan berkata kerajaan juga perlu mendengar keluhan rakyat berhubung pelaksanaan rasionalisasi subsidi, termasuk subsidi diesel, supaya dasar yang diperkenalkan tidak dilihat membebankan golongan peniaga dan perusahaan kecil.
Beliau menegaskan setiap dasar ekonomi perlu sentiasa dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas rakyat bagi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi.
Sehubungan itu, beliau berharap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama kerajaan mempertimbangkan semula beberapa aspek pelaksanaan dasar berkenaan agar penambahbaikan dapat dilakukan.
“Harapan saya supaya kerajaan mengkaji semula perkara-perkara yang dibangkitkan ini supaya keluhan rakyat daripada pelbagai kaum dapat diberi perhatian dan dasar kerajaan menjadi lebih baik serta lebih diterima masyarakat,” katanya.
BACA JUGA Sabarlah rakyat Kelantan, Exco kata dua tahun lagi masalah air selesai