Selangor lancar USAHANITA DIGITAL 2026, perkasa usahawan wanita tembusi pasaran global

FOTO BERITA: Kerajaan Negeri Selangor menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) hari ini melancarkan Program Insentif Digital Media Usahawanita Muda (USAHANITA DIGITAL) 2026 sebagai usaha berterusan memperkukuh pembangunan usahawan wanita melalui peningkatan keupayaan digital, pembangunan kapasiti perniagaan serta persediaan menembusi pasaran antarabangsa. (Gambar: Unit Komunikasi WBS)

Memasuki tahun ketiga pelaksanaannya, program itu terus menjadi platform strategik Kerajaan Negeri dalam melahirkan usahawan wanita yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampan selaras dengan perkembangan ekonomi digital. Sejak diperkenalkan pada 2024, USAHANITA DIGITAL telah melahirkan seramai 230 alumni daripada dua kohort terdahulu yang kini terus mengembangkan perniagaan masing-masing.

Bagi edisi 2026, beberapa penambahbaikan signifikan diperkenalkan, termasuk modul eksport buat julung kalinya yang memberi fokus kepada usahawan wanita yang mempunyai perniagaan stabil dan bersedia berkembang ke peringkat global. Modul tersebut melengkapkan peserta dengan pengetahuan mengenai strategi penembusan pasaran antarabangsa, pematuhan standard global, kesiapsiagaan operasi serta pembangunan jenama yang berdaya saing. Program tahun ini turut menerima sambutan memberangsangkan apabila sebanyak 131 permohonan diterima dari seluruh Selangor. Daripada jumlah itu, seramai 117 peserta berjaya dipilih menyertai Kohort 3 selepas melalui proses saringan yang ketat bagi mengikuti siri latihan, bengkel dan sesi bimbingan bersama pakar industri.

USAHANITA DIGITAL 2026 turut diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik dengan Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC). Kerjasama itu membolehkan peserta memperoleh akses kepada pembiayaan, perkongsian kepakaran serta peluang memperluaskan pasaran. Selain itu, peserta juga berpeluang menyertai Bazar Techno dan sesi pembentangan (pitching) sempena Majlis Anugerah Ikon Usahanita Digital. Pemenang bukan sahaja menerima trofi dan sijil, malah berpeluang memperoleh insentif padanan pembiayaan daripada agensi pembangunan usahawan Negeri Selangor berdasarkan penilaian yang ditetapkan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, YB Puan Anfaal Saari, pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membangunkan ekosistem keusahawanan wanita yang lebih inklusif, progresif dan berdaya tahan. Beliau berkata, melalui pendekatan bersepadu yang menggabungkan pendigitalan perniagaan serta jaringan kerjasama industri, WBS akan terus memperluaskan akses kepada latihan, teknologi dan pembiayaan bagi memastikan usahawan wanita tempatan mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kerajaan Negeri Selangor kekal komited memperkasa usahawan wanita sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus memastikan mereka mempunyai ruang dan sokongan berterusan untuk meneroka pasaran baharu demi kemakmuran bersama,” katanya.